PELABURAN hartanah boleh menjadi sumber pendapatan stabil dan meningkatkan nilai aset dari semasa ke semasa tetapi memerlukan strategi yang jelas.
Pemilihan lokasi yang strategik seperti berhampiran tempat kerja, institusi pendidikan dan kemudahan pengangkutan awam, merupakan kunci kejayaan pelaburan.
Pelabur tidak semestinya memerlukan modal besar untuk memulakan pelaburan. Rumah kos sederhana atau unit bersaiz kecil boleh menjadi pilihan sesuai dengan kemampuan kewangan, sekali gus membolehkan pelabur memahami kos penyelenggaraan, pengurusan penyewa dan aliran tunai secara berperingkat.
Beberapa kaedah pelaburan yang mudah untuk pemula termasuk membeli unit semasa dalam pembinaan, yang menawarkan harga lebih rendah dan potensi keuntungan apabila siap, membeli hartanah jualan semula (subsale) daripada pemilik sedia ada bagi memasuki pasaran dengan cepat atau membeli hartanah lelong pada harga lebih murah tetapi memerlukan kajian teliti dan persiapan kewangan yang baik.
Contohnya, seorang pelabur membeli pangsapuri berhampiran universiti di Kuala Lumpur. Unit ini mudah disewakan kepada pelajar dan kakitangan universiti, menghasilkan aliran pendapatan tetap setiap bulan.
Nilai hartanah di kawasan ini juga dijangka meningkat dari semasa ke semasa, memberikan jaminan nilai jangka panjang.
Pelabur digalakkan membuat perancangan kewangan rapi dan tidak mengambil pinjaman melebihi kemampuan. Pelaburan secara berperingkat lebih selamat dan dapat mengurangkan tekanan kewangan.
Penggunaan teknologi turut memudahkan urusan pelaburan, dengan maklumat berkaitan harga pasaran, lokasi dan kemudahan sekitar boleh diperoleh dengan cepat, sekali gus membantu pelabur membuat keputusan yang lebih tepat. Dengan pendekatan secara betul dan strategi terancang, hartanah boleh menjadi sumber kekayaan yang kukuh dan berpanjangan.
Walaupun pelaburan hartanah dianggap lebih stabil berbanding pelaburan lain, namun tetap mempunyai risiko yang perlu diambil kira. Antaranya ialah kesukaran menjual hartanah dalam tempoh singkat sekiranya memerlukan wang tunai segera.
Hartanah di lokasi yang kurang strategik mungkin sukar disewakan dan tidak memberikan pulangan yang diharapkan. Kos penyelenggaraan yang tinggi, kerosakan pada hartanah serta masalah penyewa seperti penyewa gagal membayar sewa atau lari daripada kontrak boleh menjejaskan aliran tunai dan keuntungan pelabur.
Perubahan kadar pembiayaan, cukai atau polisi kerajaan juga boleh memberi impak kepada pelaburan. Oleh itu, pelabur perlu membuat kajian pasaran dengan teliti, menilai keadaan hartanah dengan berhati-hati, serta menyediakan pelan kewangan yang kukuh sebelum membuat keputusan.
Dengan persiapan dan strategi yang tepat, risiko ini boleh dikurangkan dan pelaburan hartanah dapat memberikan hasil yang lebih stabil dalam jangka panjang.
Secara keseluruhannya, pelaburan hartanah merupakan satu pilihan pelaburan yang stabil dan sesuai untuk jangka panjang. Nilainya lebih kukuh dan kurang terdedah kepada turun naik pasaran. Selain itu, hartanah juga mampu melindungi nilai wang daripada kesan inflasi kerana harganya yang cenderung meningkat dari masa ke masa.
Pelaburan hartanah bukan sahaja memberikan keuntungan melalui kenaikan nilai aset, malah boleh menjana pendapatan bulanan melalui sewaan. Dengan perancangan kewangan yang baik dan pengurusan yang bijak, pelaburan ini mampu memberi manfaat berterusan kepada pemiliknya. Seperti peribahasa ‘biar lambat asalkan selamat’, pelaburan hartanah menekankan kestabilan dan keselamatan yang akhirnya membawa keuntungan dalam jangka panjang.-UTUSAN
MUHAMMAD AUFA RAFIQ MOHD ANUAR & PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD DALI
Fakulti Ekonomi Dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










