PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar menyediakan kemahiran tetapi merupakan alat transformasi yang memberi pengiktirafan sebenar kepada orang kelainan upaya (OKU).
Pengiktirafan ini bukan kosmetik atau sekadar simbol tetapi menyentuh dimensi ekonomi, sosial, psikologi dan peranan mereka dalam masyarakat.
Selama ini, OKU sering dilihat dari perspektif kebajikan sebagai penerima bantuan, subjek simpati, atau dianggap beban. Pandangan ini bukan sahaja membentuk persepsi masyarakat, tetapi juga mempengaruhi keputusan institusi, peluang pendidikan dan pekerjaan.
Kerana itu, TVET memecahkan naratif ini dengan menekankan kompetensi. OKU tidak lagi ditakrifkan melalui kekurangan tetapi melalui keupayaan. Individu yang sebelum ini dianggap tidak mampu bekerja kini diiktiraf sebagai juruteknik, pembantu operasi mahir atau pengendali sistem berkemahiran tinggi.
Perubahan ini bukan sekadar istilah tetapi transformasi identiti sosial, apabila masyarakat mula menghargai keupayaan dan bukannya kekurangan.
Antara kekuatan utama TVET ialah penyediaan pengiktirafan formal setara melalui pensijilan seperti Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia. Semua pensijilan ini dibangunkan berdasarkan standard kompetensi nasional tanpa stigma khas untuk OKU.
Malah, semua pensijilan ini diiktiraf dalam sektor awam dan swasta melalui penilaian berdasarkan kemahiran dan prestasi, bukan latar belakang fizikal atau kognitif.
Data menunjukkan kadar kejayaan OKU dalam TVET hampir setara dengan peserta tanpa ketidakupayaan, membuktikan jurang keupayaan lebih berkait dengan akses dan sokongan, bukan kekurangan semula jadi.
Namun, pengiktirafan formal sahaja tidak mencukupi tanpa peluang pekerjaan sebenar. Masih ada majikan yang melihat OKU sebagai risiko, sama ada dari segi produktiviti, kos atau kesihatan.
Latihan kesamarataan dan program pengurusan kembali bekerja membuktikan sebaliknya apabila pekerja OKU menunjukkan komitmen tinggi, kehadiran stabil dan produktiviti setanding dengan rakan sekerja. Apabila OKU diiktiraf sebagai aset, inklusiviti tidak lagi slogan tetapi strategi organisasi.
Dari aspek ekonomi, TVET membuka laluan kepada pekerjaan formal dan pendapatan stabil. OKU yang sebelum ini terperangkap dalam sektor informal kini boleh mencapai kemandirian, membuat keputusan autonomi dan merancang masa hadapan. Laluan kerjaya fleksibel membolehkan peningkatan kemahiran melalui latihan lanjutan, menjadikan pekerjaan sebagai kerjaya dan kerjaya sebagai masa hadapan.
Dimensi psikologi turut berubah. OKU yang berkemahiran dan memperoleh pekerjaan mula membina keyakinan diri, harga diri dan orientasi hidup yang jelas. Mereka tidak lagi melihat diri sebagai individu yang perlu diselamatkan tetapi sebagai penyumbang aktif. Perubahan ini turut memberi impak kepada keluarga dan masyarakat yang mana ibu bapa menjadi lebih mempercayai anak, manakala rakan sekerja mula menghormati kemampuan mereka.
Pengiktirafan sebenar berlaku apabila OKU diintegrasikan sepenuhnya dalam struktur sosial dan ekonomi formal. Mereka menjadi pekerja, pembayar caruman sosial dan penyumbang ekonomi, mengubah status dari penerima kepada penyumbang sekali gus mengangkat martabat dan menguatkan rasa kebersamaan dalam masyarakat.
Walaupun cabaran masih wujud namun tidak semua majikan bersedia memandangkan tidak semua tempat kerja mesra OKU dan beberapa sektor kurang menghargai pengiktirafan formal. Ketika ini, penyertaan OKU dalam TVET meningkat menyebabkan kesedaran majikan bertambah dan dasar sokongan semakin tersusun.
Kesimpulannya, TVET bukan sekadar latihan kemahiran sebaliknya mekanisme pengiktirafan menyeluruh yang mengubah identiti, membuka peluang ekonomi, memperkukuh kesejahteraan psikologi dan membolehkan integrasi sosial sebenar.
Pengiktirafan ini bukan belas ihsan tetapi berasaskan keupayaan dan sumbangan. TVET menyediakan bukan sahaja pekerjaan tetapi kehidupan bermaruah, berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan.-UTUSAN
NURUL NISHA MOHD. SHAH & MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) & Sixtysix Action Academy










