Kembara solo cara Aqilah bina keyakinan

Kembara solo cara Aqilah bina keyakinan

Minat Aqilah terhadap pengembaraan solo bermula ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI kebanyakan orang, khususnya wanita, idea mengembara sendirian ke destinasi baharu yang belum pernah diterokai sering dianggap menakutkan.

Namun bagi Nor Aqilah Abdullah, 28, kembara solo bukan lagi sesuatu yang asing, malah menjadi cara untuk mengenal diri dan membina keyakinan.

Minat Aqilah terhadap pengembaraan solo bermula ketika pandemik Covid-19 melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ketika itu, masa lapang banyak dihabiskan dengan menonton video kembara solo dalam media sosial, memandangkan pergerakan dan percutian bersama rakan-rakan tidak lagi dibenarkan.

Apabila sekatan perjalanan mula dilonggarkan, Aqilah mengambil langkah berani menjadikan Thailand sebagai destinasi pertama untuk pengalaman kembara bersendirian.

Keberanian itu kemudiannya membuka jalan buatnya menjelajah ke beberapa negara lain termasuk Laos, Indonesia, Vietnam dan Singapura, sekali gus mengukuhkan keyakinan untuk terus mengembara seorang diri di luar negara.

KUATKAN MENTAL

Aqilah tidak menafikan pengembaraan solo, khususnya ke negara asing, menuntut kekuatan mental dan keberanian yang tinggi, lebih-lebih lagi apabila berdepan situasi tidak dijangka.

“Melancong berseorangan ke luar negara memang bukan mudah. Ada masanya saya berasa cemas dan serba tidak pasti secara tiba-tiba,” katanya.

Thailand dan Indonesia antara negara yang paling dekat di hatinya kerana mesra kepada pengembara solo.

Menurutnya, walaupun tidak melakukan sebarang kesalahan, perasaan gementar tetap hadir setiap kali berurusan dengan pihak imigresen, apatah lagi apabila mengembara sendirian.

Justeru, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap perancangan perjalanannya.

Sebelum memilih destinasi, Aqilah akan meneliti keadaan persekitaran, suasana siang dan malam serta jenis penginapan yang ditawarkan.

Baginya, hostel atau hotel yang tenang dan selamat untuk wanita lebih menjadi pilihan berbanding penginapan murah tanpa jaminan keselesaan. Menurutnya, ketenangan fikiran jauh lebih berharga.

BAJET SOLO MENJIMATKAN

Dari segi perbelanjaan, Aqilah membuktikan kembara solo tidak semestinya mahal. Dengan perancangan rapi, kos perjalanan boleh diurus secara bijak.

“Sebagai contoh, ketika menginap di hostel di Ho Chi Minh, Vietnam, saya hanya berbelanja sekitar RM250 untuk empat hari tiga malam,” katanya.

Secara purata, perjalanan enam hari lima malam boleh diuruskan dengan bajet sekitar RM1,000 sahaja termasuk pengangkutan dan perbelanjaan asas.

Aqilah membuktikan kembara solo tidak semestinya mahal, melalui perancangan rapi, kos perjalanan boleh diurus secara bijak.

Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah memberi ruang untuk Aqilah menikmati perjalanan mengikut rentak sendiri, mengenali budaya tempatan dan bergerak tanpa tekanan.

Malah, untuk merakam kenangan, Aqilah lebih selesa mengambil gambar sendiri menggunakan tekniknya sendiri tanpa perlu mengupah jurugambar, namun tetap mampu menghasilkan gambar yang menarik.

MAHU JELAJAH ASIA

Kini, Aqilah memberi tumpuan untuk meneroka negara-negara Asia terlebih dahulu sebelum melangkah ke destinasi yang lebih jauh.

Jepun menjadi antara destinasi kembara solo seterusnya, sekali gus menandakan satu lagi langkah berani dalam perjalanan membina keyakinan dirinya.

Thailand dan Indonesia antara negara yang paling dekat di hatinya kerana mesra kepada pengembara solo. Menurutnya, keindahan budaya dan alam semula jadi yang masih luas untuk diterokai membuatkan dia tidak sabar untuk mencabar diri dalam perjalanan seterusnya.

Mengakhiri bicara, Aqilah mengingatkan wanita yang masih ragu-ragu untuk mengembara sendirian supaya bermula dengan destinasi yang selamat, merancang perjalanan sebaiknya dan percaya pada naluri sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×