Tanggungjawab bersama bela haiwan terbiar

Tanggungjawab bersama bela haiwan terbiar

HAIWAN terbiar bukan sekadar soal belas kasihan tetapi mencerminkan kegagalan tadbir urus bandar, kelemahan etika masyarakat dan pengabaian ekosistem bandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASALAH anjing dan kucing terbiar di bandar bukan isu remeh sekali gus   mencerminkan kegagalan pengurusan bandar serta kecuaian manusia dalam memikul tanggungjawab sosial. 

Sikap masyarakat yang menormalisasikan kewujudan haiwan terbiar menunjukkan keengganan mengakui risiko terhadap kebajikan haiwan, kesihatan awam dan keseimbangan ekosistem.

Punca populasi haiwan terbiar jelas berpunca daripada manusia disebabkan pembuangan haiwan peliharaan, pembiakan tanpa kawalan dan kurangnya pendidikan tentang tanggungjawab jangka panjang. 

Haiwan yang ditinggalkan menyesuaikan diri, membiak dan bergantung kepada sisa makanan manusia. Memberi makan tanpa kawalan hanya mengekalkan masalah dan tidak menyelesaikannya secara mampan.

Dari segi ekosistem bandar, populasi haiwan terbiar memberi tekanan kepada fauna tempatan, mengubah rantaian makanan dan menjejaskan keseimbangan alam.

Dari perspektif kesihatan awam pula, haiwan ini berisiko membawa penyakit zoonotik seperti rabies, membahayakan kanak-kanak dan golongan rentan. Justeru, mengabaikan pengurusan populasi demi ‘belas kasihan’ bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mengancam keselamatan masyarakat.

Usaha kawalan seperti penangkapan, pemandulan, rawatan asas dan program pengambilan haiwan angkat wujud, namun populasi yang tinggi menyebabkan sistem sentiasa berada di bawah tekanan. Masalah sekunder seperti pengurusan bangkai haiwan turut timbul, menandakan isu ini kritikal. Tanpa penglibatan masyarakat, usaha pihak berkuasa bersifat reaktif dan tidak menyelesaikan masalah jangka panjang.

Tanggungjawab memelihara haiwan bukan hak mutlak tanpa kewajipan. Setiap pemilik perlu memastikan vaksinasi, pemandulan dan penjagaan sepanjang hayat haiwan. 

Pendidikan awam tentang pemilikan beretika perlu diperkasakan dan dijadikan norma sosial, bukan sekadar kempen bermusim. Pengambilan anak angkat harus diutamakan berbanding pembelian haiwan berdasarkan trend atau emosi sesaat.

Kesimpulannya, isu haiwan terbiar bukan sekadar soal belas kasihan tetapi mencerminkan kegagalan tadbir urus bandar, kelemahan etika masyarakat dan pengabaian ekosistem bandar. 

Penyelesaian memerlukan dasar tegas, keberanian politik dan perubahan sikap kolektif. Bandar moden adalah ekosistem hidup yang menuntut tanggungjawab bersama. Selagi manusia enggan memikul peranan ini, haiwan terbiar akan terus menjadi mangsa kealpaan kita.-UTUSAN

 

AYU AZNYZAN MAHRULNIZAM & HASMAHZAITI OMAR

Program Ekologi Biodiversiti, Institut Sains Biologi, 

Fakulti Sains,

Universiti Malaya 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN