Tambah baik kempen keselamatan jalan raya

Tambah baik kempen keselamatan jalan raya

DI Malaysia, kemalangan maut masih menjadi antara penyumbang utama kehilangan nyawa setiap tahun, sebahagian besarnya berpunca daripada kecuaian, sikap tergesa-gesa dan keyakinan berlebihan ketika memandu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUAH iklan keselamatan jalan raya terbitan New Zealand Transport Agency (NZTA) kembali tular di media sosial apabila ramai memuji pendekatan dramatik dan mesej terus-terang yang dibawanya, sehingga dianggap antara karya paling berkesan pernah diterbitkan dalam kempen keselamatan global.

 

Iklan berdurasi satu minit bertajuk Mistakes, dilancarkan pada 8 Januari 2014, memaparkan detik ‘masa dibekukan’ sebelum kemalangan berlaku, ketika dua pemandu saling menyedari bahawa pelanggaran tidak dapat dielakkan. Tanpa sebarang visual ekstrem, iklan itu mengetengahkan penyesalan dan ketidakupayaan mereka untuk mengubah kesilapan. Ia membawa emosi yang dekat dengan realiti sebenar kemalangan.

 

Menurut laporan NZTA, kempen berkenaan disasarkan kepada pemandu berpengalaman yang beranggapan mereka mampu mengawal kelajuan. Mesejnya jelas, kesilapan kecil orang lain boleh berlaku pada bila-bila masa, justeru pemandu perlu sentiasa berwaspada dan tidak mempercayai ‘kelajuan selesa’.

 

Di Malaysia, kemalangan maut masih menjadi antara penyumbang utama kehilangan nyawa setiap tahun, sebahagian besarnya berpunca daripada kecuaian, sikap tergesa-gesa dan keyakinan berlebihan ketika memandu.

 

Susulan tularnya kembali iklan ini, adakah kita perlu mesej yang lebih ‘keras’ untuk menghentikan budaya memandu laju? Ramai pengguna media sosial berpendapat negara perlu berani menghasilkan kempen keselamatan yang lebih jujur, tegas dan menggugah emosi, bukan sekadar slogan umum atau visual yang terlalu selamat.

 

Dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan, pakar berpendapat Malaysia perlu memperkukuh strategi komunikasi keselamatan jalan raya dengan memberi penekanan kepada nilai empati, realiti sebenar kemalangan dan tingkah laku pemandu.

 

Keselamatan jalan raya bukan sekadar soal undang-undang atau penguatkuasaan sebaliknya  menghargai nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Dan mesej inilah yang terus menjadikan Mistakes sebuah karya yang relevan, meskipun selepas lebih 10 tahun ia diterbitkan.-UTUSAN

 

PROFESOR DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR

Pensyarah Kanan,

Jabatan Teknologi dan Pengajian Rantaian Bekalan,

Fakulti Pengurusan dan Perniagaan,

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN