PENGUMUMAN tawaran 3,000 tempat kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) wajar dilihat sebagai satu langkah dasar yang signifikan, bukan sekadar inisiatif latihan bersifat teknikal.
Ini kerana ia seiring penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang memperluas tanggungjawab majikan serta meningkatkan penalti terhadap ketidakpatuhan.
Namun, wujud persoalan iaitu sama ada usaha ini benar-benar mampu mencetuskan reformasi budaya kerja yang selamat dan sihat di tempat kerja atau sekadar melengkapkan keperluan undang-undang di atas kertas.
Sehubungan itu, beberapa penambahbaikan dasar dan tindakan susulan wajar dipertimbangkan. Pertama, mekanisme pemantauan pasca-latihan perlu diwujudkan bagi memastikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh diterjemahkan kepada amalan sebenar di tempat kerja.
Kedua, peranan serta skop tugas PKKP perlu diperincikan dengan lebih jelas dalam garis panduan nasional supaya jawatan ini tidak disalah tafsir sebagai jawatan kosmetik tanpa kuasa sebenar.
Ketiga, pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan perlu dikaitkan dengan insentif ekonomi. PKS yang menunjukkan komitmen sebenar terhadap aspek ini wajar diberi keutamaan dalam akses pembiayaan, pensijilan atau perolehan kerajaan.
Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan pematuhan, malah membina ekosistem perniagaan yang lebih bertanggungjawab dan mampan.
Akhirnya, keselamatan dan kesihatan pekerjaan tidak wajar terus dilihat sebagai beban kos atau tuntutan birokrasi. Ia merupakan pelaburan strategik terhadap produktiviti, daya tahan organisasi dan kelangsungan ekonomi negara.
Tempat kerja yang selamat melindungi pekerja, mengurangkan kerugian operasi dan membina keyakinan jangka panjang terhadap sektor PKS.
PKKP mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin reformasi budaya kerja di peringkat akar umbi. Namun, potensi ini hanya akan menjadi realiti jika dasar disokong oleh penguatkuasaan berprinsip dan kesediaan majikan untuk berubah.
Jika pelantikan PKKP sekadar untuk melengkapkan fail pematuhan, maka yang berubah hanyalah dokumentasi, bukan tingkah laku. Keselamatan pekerjaan tidak boleh hidup di atas kertas. Ia mesti berfungsi di lapangan kerja.-UTUSAN
FAIRUS MUHAMAD DARUS
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Gunaan,










