Sukarelawan memperkasa graduan media

Sukarelawan memperkasa graduan media

AKTIVITI kesukarelawan menawarkan ruang pembelajaran alternatif yang mengisi kekosongan pendidikan formal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SISTEM  pendidikan tinggi hari ini cenderung menilai kejayaan pelajar berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. 

Gred, Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) dan keputusan peperiksaan masih dianggap indikator utama kecemerlangan, seolah-olah kebolehan berfikir, berinteraksi dan berfungsi dalam dunia sebenar boleh diukur melalui jawapan bertulis sahaja. 

Pendekatan yang terlalu akademik ini semakin tidak selari dengan keperluan industri, khususnya dalam bidang komunikasi dan media yang berasaskan manusia serta konteks.

Industri media tidak mencari graduan yang sekadar tahu teori komunikasi tetapi mereka yang mampu bercakap dengan manusia sebenar, membaca emosi khalayak, menyesuaikan mesej dan bertindak profesional dalam keadaan tidak menentu. 

Di sinilah jurang antara universiti dan industri muncul dengan pelajar mungkin cemerlang dalam peperiksaan tetapi kaku di lapangan, gugup berunding dan gagal berkomunikasi secara empatik.

Aktiviti kesukarelawan menawarkan ruang pembelajaran alternatif yang mengisi kekosongan pendidikan formal. Ia memaksa pelajar keluar daripada zon selesa akademik serta berhadapan dengan realiti sosial yang kompleks dan tidak dijangka. 

Melalui sukarelawan, pelajar belajar berinteraksi dengan individu berbeza latar belakang, emosi dan keperluan yang menuntut kemahiran komunikasi fleksibel, spontan dan beretika yang merupakan kemahiran utama dalam industri media.

Penglibatan dalam sukarelawan membolehkan pelajar mengaplikasikan komunikasi interpersonal, organisasi, masyarakat dan antara budaya secara serentak. Mereka memahami mesej perlu disesuaikan mengikut penerima seperti kanak-kanak memerlukan kreativiti sementara warga emas menuntut kesabaran dan empati. 

Kemahiran komunikasi bukan lisan seperti nada suara, bahasa tubuh, hubungan mata dan ekspresi wajah juga diasah secara semula jadi di lapangan.

Lebih penting, sukarelawan melatih empati dan kefahaman. Ini merupakan dua aspek yang sering diabaikan dalam bilik kuliah. Pelajar belajar mendengar, memahami realiti komuniti B40, kesunyian warga emas dan keterbatasan pendidikan. 

Pengalaman ini membina graduan yang matang, yakin, cekap menangani konflik dan mampu bekerjasama dalam pasukan pelbagai latar belakang iaitu ciri yang sangat dicari oleh industri media.

Di era digital, sukarelawan juga menjadi tapak latihan media baharu melalui pengurusan media sosial, penghasilan kandungan digital dan pengurusan imej organisasi. Pengalaman ini melengkapkan kemahiran praktikal yang jarang diperoleh dalam akademik formal. Aktiviti sukarelawan bukan sekadar pelengkap kokurikulum tetapi instrumen strategik untuk membina graduan komunikasi yang benar-benar berfungsi dalam dunia nyata.

Kesimpulannya, sukarelawan membetulkan ketidakseimbangan pendidikan akademik. Ia melahirkan graduan yang bukan sahaja fasih berbicara tetapi mampu membaca situasi, memahami manusia, berfungsi dalam industri media yang dinamik, tidak berstruktur dan berorientasikan manusia. Inilah kompetensi yang paling bernilai. -UTUSAN

 

NUR ALEESYHA IZZATY ABDUL RAHIM & NURUL NISHA MOHD. SHAH 

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN