PETALING JAYA: Seorang lagi ahli kumpulan Geng Kapten Praba yang terlibat dalam kegiatan jenayah terancang telah dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor, hari ini.
Suspek berkenaan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan pukul 11.00 pagi tadi selepas dia ditahan semalam.
Penahanan suspek dilakukan menerusi Operasi Jack Sparrow yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman sekali gus menjadikan penahananan keseluruhan ahli kumpulan itu seramai 18 orang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar berkata, pertuduhan bagi kes di bawah Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Jelasnya, tangkapan individu tersebut telah dilaksanakan dengan kerjasama dan bantuan pihak berkuasa tempatan di Bangkok, Thailand, sebelum suspek dibawa pulang ke Malaysia.
Ujarnya, suspek telah ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lalu.
“Suspek kini ditahan bagi siasatan lanjut kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
“Yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelasnya, PDRM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat yang telah diberikan, serta menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan.
Pada Ahad lalu, seorang lagi ahli Geng Kapten Praba yang dipercayai mahu bersembunyi di Thailand ditahan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, lelaki berusia 30-an itu dibawa pulang ke Malaysia selepas dikesan melarikan diri ke luar negara pada 10.30 malam.
Sebelum ini, media melaporkan PDRM mempergiat usaha mengesan saki-baki kumpulan penjenayah Geng Kapten Praba yang dikesan melarikan diri ke luar negara.
Suspek termasuk ketua kumpulan itu meninggalkan negara menggunakan lorong tikus.
PDRM sebelum ini memburu ahli kumpulan Geng Kapten Praba menerusi OP Jack Sparrow selepas dipercayai menjadikan India dan Thailand sebagai lokasi persembunyian sejak September tahun lalu.
Sebelum ini, tiga ahli kumpulan itu ditahan di Mumbai, India pada Ahad lepas, selepas cubaan untuk memasuki United Kingdom gagal, dan dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang sebaik tiba negara ini pada Rabu, minggu lalu. – UTUSAN










