Curi kabel bukan jenayah kecil, sabotaj kemudahan awam – Anthony Loke

Curi kabel bukan jenayah kecil, sabotaj kemudahan awam – Anthony Loke

ANTHONY Loke (empat dari kiri) bersama Amir Hamdan (tiga dari kiri) dan Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Tan Sri Mohd. Nasir Ahmad (tiga dari kanan) pada Majlis Pelancaran Penjejak Penjimatan Pas My50 serta Pendigitalan Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kecurian kabel tidak seharusnya dilihat sebagai jenayah kecil semata-mata, sebaliknya boleh dianggap sebagai tindakan sabotaj kerana kesannya yang meluas kepada sistem pengangkutan awam dan orang ramai.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan pindaan undang-undang yang sedang dirangka Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperketat hukuman terhadap kes kecurian kabel.

Menurutnya, kes kecurian kabel yang disifatkan semakin membimbangkan dan berisiko tinggi terhadap keselamatan awam.

“Ketika ini kes kecurian kabel diklasifikasikan sebagai kesalahan kecil dengan denda sekitar RM1,000 hingga RM2,000, dah lepas (dibebaskan), hukuman sedemikian gagal memberi kesan pencegahan yang berkesan kepada pelaku.

“Hakikatnya, kecurian kabel memberi impak besar kepada operator seperti Prasarana dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Setiap insiden kecurian bukan sahaja mengganggu operasi, malah menjejaskan keselamatan perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Penjejak Penjimatan Pas My50 serta Pendigitalan Pas Rapid Kota dan Pas Rapid Kembara di Stesen LRT Ampang Park di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden dan ketua Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Amir Hamdan dan Ketua Pegawai Eksekutif TNG, Praba Sangarajoo.

Anthony berkata, sasaran utama pencuri kabel adalah kabel tembaga berikutan nilainya yang tinggi, namun kawasan berkenaan adalah berbahaya dan lokasi larangan yang tidak sepatutnya dimasuki orang awam.

Pada masa sama, beliau turut memberi amaran kepada individu yang menceroboh kawasan landasan atau trek hidup (live track) kerana risiko renjatan elektrik yang boleh mengancam nyawa.

“Kawasan landasan adalah kawasan larangan dan berbahaya. Kita tidak boleh bertanggungjawab jika berlaku kemalangan atau kehilangan nyawa akibat pencerobohan.

“Jangan kerana pulangan atau nilai kabel yang tinggi, mereka sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Anthony berkata, MOT berharap pindaan undang-undang yang dirangka kelak dapat memperkukuh aspek penguatkuasaan serta memberi hukuman lebih tegas bagi membendung kegiatan kecurian kabel yang semakin berleluasa.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa kerajaan akan meneliti keperluan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap kes kecurian kabel, khususnya membabitkan projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menurutnya, perkara itu dipersetujui pada sesi pertemuan beliau dan menteri pengangkutan bersama pengendali perkhidmatan rel termasuk KTMB serta pihak ECRL, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×