Perbanyak amalan baik di bulan Ramadan

Perbanyak amalan baik di bulan Ramadan

RAMADAN adalah peluang perubahan diri yang sebenar, bukan sekadar satu bulan dalam kalendar Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMADAN dikenali sebagai bulan al-Quran, bulan diturunkannya petunjuk bagi manusia. Dalam kalangan tabi‘in, Salamah bin Kuhayl menyebut Syaaban adalah bulan para qurra’, iaitu bulan mereka memperbanyakkan bacaan al-Quran. 

Amr bin Qais al-Mula’i pula diriwayatkan menutup kedainya apabila masuk Syaaban bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada al-Quran. Amalan ini bertujuan membina keakraban dengan Kalamullah agar Ramadan benar-benar dihidupkan dengan tilawah dan tadabbur.

Ramadan juga melibatkan penguasaan ilmu. Para Salaf mempelajari hukum-hakam puasa, adab Ramadan serta keutamaan ibadah agar setiap amalan dilakukan berlandaskan kefahaman yang benar.

Tanpa ilmu, ibadah mudah menjadi rutin kosong. Dengan ilmu, ibadah dilakukan dengan kesedaran, penghayatan dan tujuan yang jelas untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sejarah turut merekodkan Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang terkenal dengan amalan sedekah dan kebajikan. Saidina Umar al-Khattab RA pula memberi perhatian besar kepada pembaikan akhlak, keadilan dan amanah, termasuk menasihati para gabenornya agar berlaku adil kepada rakyat menjelang bulan suci.

Dalam kalangan tabi‘ al-tabi‘in, Imam Malik bin Anas diriwayatkan meninggalkan majlis pengajaran hadis apabila masuk Ramadan dan menumpukan sepenuhnya kepada bacaan al-Quran, sebagai tanda memahami roh dan keutamaan bulan tersebut. 

Imam al-Zuhri pula terkenal dengan ungkapannya Ramadan ialah bulan membaca al-Quran dan memberi makan kepada orang miskin, menggambarkan keseimbangan antara ibadah rohani dan tanggungjawab sosial.

Ramadan adalah peluang perubahan diri yang sebenar, bukan sekadar satu bulan dalam kalendar Islam. 

Pendekatan ini memberi pengajaran besar kepada umat Islam bahawa Ramadan yang berkualiti bermula dengan hati yang bersedia. 

Semoga kita mampu meneladani cara mereka agar setiap Ramadan benar-benar mendekatkan kita kepada Allah SWT dan membentuk peribadi yang lebih bertakwa. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. MONIKA@MUNIRAH ABD. RAZZAK

Pensyarah di Jabatan Al-Quran & Al-Hadith,  

Akademi Pengajian Islam, 

Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN