BESUT: Kawasan perkuburan khas musim banjir yang diwujudkan di Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang, di sini diancam hakisan setiap kali musim hujan.
Timbalan Pengerusi Badan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang (BPTPI), Wan Mahadi Wan Hasan berkata, kawasan kubur itu yang ditambak setinggi kira-kira 1.2 meter dari kedudukan asal kini sering diancam luncuran tanah.
“Kita masih kekurangan dana, mengikut perancangan pihak jawatankuasa tanah perkuburan ini mahu membina satu tembok penahan sepanjang 91.44 meter.
“Ia sebagai langkah mengatasi masalah hakisan itu tetapi ia perlu dilakukan secara berperingkat dan bergantung kepada jumlah dana yang dikumpul dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Alor Lintang.
Sementara itu, Setiausaha BPTPI, Wan Ramizu Azhan Mohamad berkata, benteng tersebut akan dibina secara bergotong-royong antara ahli jawatankuasa dan penduduk sekitar dengan membuat acuan tembok sendiri.
Menurutnya, pihaknya menggunakan hasil derma orang ramai untuk membeli bahan-bahan asas pembinaan itu dan membinanya secara berperingkat yang mana kos pembinaan lebih murah tanpa memerlukan upah.
“Setiap Jumaat di tanah perkuburan ini kita laksanakan gotong-royong dan ketika itulah kita membuat bancuhan simen untuk membentuk bongkah-bongkah kecil dan dimasukkan ke dalam acuan khas.
“Benteng yang dibina ini bukan hanya menjadi penahan tanah daripada hakisan malah mempunyai ciri lanskap khas,” katanya.
Menurutnya, ketika ini kawasan perkuburan banjir itu menempatkan enam jenazah dan yang terakhir dikebumikan ketika musim bah pada Disember tahun lalu.
Katanya, kubur khas berkenaan yang berkeluasan 0.4 hektar dapat menampung kira-kira 500 jenazah di samping menempatkan jenazah yang membabitkan kes-kes khas termasuk jenazah tidak dituntut dan diuruskan oleh pihak mereka. – UTUSAN










