INISIATIF kerajaan melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 mengecualikan yuran pengajian kepada penuntut Orang Kurang Upaya (OKU) di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), politeknik dan kolej komuniti wajar dipuji dan disambut baik.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan akses pendidikan yang adil dan inklusif kepada semua lapisan masyarakat.
Pengarah Politeknik Kota Bharu, Mohd. Hisham Makhtar, menyifatkan langkah ini sebagai sokongan signifikan terhadap usaha institusi pendidikan dalam melahirkan graduan OKU yang berdaya saing dan berkemahiran.
Menurut beliau, dasar yang inklusif amat penting bagi memastikan golongan OKU tidak tercicir daripada arus pembangunan negara.
Bagi pelajar OKU, cabaran melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi bukan sahaja melibatkan aspek fizikal dan emosi, malah kekangan kewangan yang besar. Pengecualian yuran pengajian ini secara langsung membantu meringankan beban pelajar dan keluarga, sekali gus membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran dan pembangunan potensi diri.
Bagi, pelajar Diploma Perniagaan semester 5, Nur Safia Insyirah Mohd. Shaiful berpandangan inisiatif ini memberi kelegaan serta meningkatkan motivasi untuk terus berusaha mencapai kejayaan akademik.
Menurutnya, bantuan seperti ini juga merupakan satu pengiktirafan terhadap kemampuan pelajar OKU untuk berjaya setara dengan pelajar lain.
Pandangan tersebut turut dikongsi Tuan Muhammad Aqil Ilyas Tuan Rosli, merupakan pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik semester 4, yang melihat pengecualian yuran pengajian sebagai dorongan moral yang besar. Dia yakin sokongan berterusan seperti ini mampu meningkatkan keyakinan diri pelajar OKU untuk menyumbang secara positif kepada masyarakat dan negara.
Politeknik dan kolej komuniti memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan, latihan teknikal serta vokasional yang selari dengan keperluan industri. Dengan pelaksanaan dasar pengecualian yuran ini, lebih ramai pelajar OKU berpeluang mengikuti bidang kemahiran dan teknikal, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan OKU di pasaran kerja.
Walaupun begitu, usaha ini wajar disokong dengan penyediaan kemudahan mesra OKU, sokongan akademik yang berterusan serta peningkatan kesedaran warga institusi terhadap keperluan pelajar. Pendekatan menyeluruh ini penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja diterima masuk, malah mampu menamatkan pengajian dengan jayanya.
Secara keseluruhan, pengecualian yuran pengajian ini merupakan langkah progresif dan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara.
Dengan sokongan padu daripada kerajaan, institusi pendidikan dan masyarakat, golongan OKU berpotensi menjadi tenaga kerja berkemahiran yang menyumbang kepada pembinaan Malaysia yang lebih inklusif dan sejahtera.-UTUSAN
ZAINAL ANUAR BAKRI
Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar,
Politeknik Kota Bharu (PKB)










