APABILA Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 hingga 2035 meletakkan Lonjakan Satu sebagai “Pembelajar Berpaksikan Kemanusiaan, Inovatif, Berciri Keusahawanan dan Adaptif”, mesejnya sangat jelas.
Pendidikan tinggi tidak boleh lagi diukur semata mata pada gred, pencapaian atau bilangan aktiviti.
Ia mesti membina manusia yang seimbang, yang tahu mengurus emosi, berdaya tahan dan mampu membuat keputusan yang baik untuk diri serta masyarakat.
Jika kita mahu melahirkan pembelajar yang “berpaksikan kemanusiaan”, kesihatan mental dan kesejahteraan tidak boleh dipinggirkan, apatah lagi dianggap isu kecil.
Jadi, apa maksudnya “berpaksikan kemanusiaan” dalam kampus, secara nyata dan mudah difahami? Pertama, universiti perlu melihat kesejahteraan pelajar sebagai sebahagian daripada reka bentuk pembelajaran, bukan sekadar perkhidmatan sampingan.
Beban tugasan, jadual penilaian dan budaya last minute boleh dinilai semula supaya lebih seimbang. Fleksibiliti yang munasabah, contohnya pilihan laluan pembelajaran dan sokongan akademik yang cepat, boleh mengurangkan tekanan yang tidak perlu, tanpa menurunkan kualiti pembelajaran.
Kedua, sokongan kesihatan mental mesti mudah dicapai dan mesra pelajar. Bukan semua pelajar berani melangkah berjumpa kaunselor jika suasananya terasa menghukum atau memalukan.
Universiti boleh memperkasa pendekatan yang lebih dekat dengan pelajar seperti literasi emosi, kemahiran mengurus stres, serta sistem rakan pembimbing yang dilatih secara asas untuk mengesan tanda awal pelajar yang sedang bergelut.
Dalam masa yang sama, pensyarah dan staf barisan hadapan juga wajar diberi latihan dalam berkomunikasi supaya mereka tahu bagaimana untuk memberi respon yang betul apabila pelajar memerlukan bantuan, kerana kadang-kadang satu ayat yang tepat daripada seorang pensyarah boleh mengubah seluruh pengalaman belajar seseorang.
Ketiga, kita perlu akui bahawa dunia digital adalah sebahagian besar punca tekanan zaman sekarang. Pelbagai bukti menunjukkan peranan media sosial, perbandingan sosial dan buli siber dalam memburukkan tekanan emosi belia.
Maka, literasi digital bukan hanya tentang keselamatan siber dan kemahiran aplikasi, tetapi juga tentang batas sihat, cara mengurus masa skrin dan keberanian untuk berehat tanpa rasa bersalah. Ini selari dengan semangat Lonjakan Satu RPTM yang mahu pelajar membina nilai, etika dan keseimbangan diri, bukan sekadar mengejar kelajuan.
Akhirnya, kita perlu mengubah cara kita bercakap tentang kejayaan. Dalam banyak keluarga, “kejayaan” masih bermaksud pointer tinggi dan cepat bergraduasi, walaupun tubuh dan emosi pelajar sedang nazak.
Sedangkan negara memerlukan pembina masa depan yang boleh berfikir waras, membuat keputusan baik dan bertahan dalam cabaran dunia sebenar. RPTM sudah memberi hala tuju yang betul, iaitu memanusiakan pendidikan tinggi melalui Lonjakan Satu. Hanya tinggal kita menyambutnya dengan tindakan yang konsisten di kampus, di rumah dan dalam masyarakat.
Jika kita benar-benar serius mahu melahirkan generasi pembelajar yang adaptif, inovatif dan berjiwa besar, kita mesti bermula dengan perkara paling asas iaitu memastikan mereka sihat dari segi emosi, rasa selamat untuk belajar dan tahu bahawa meminta bantuan bukan tanda lemah, tetapi tanda matang.
Kesihatan mental bukan “isu sampingan” pendidikan tinggi. Ia adalah prasyarat kepada semua lonjakan yang kita impikan. – UTUSAN
MOHAMAD AMIRUL MOHD. ADNAN ALI
Universiti Putra Malaysia










