Pelaburan hartanah juga perlu patuh syariah

Pelaburan hartanah juga perlu patuh syariah

PELABUR perlu memastikan rumah yang disewakan tidak digunakan untuk aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan prinsip Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM konteks pelaburan hartanah, pelabur runcit lazimnya terlibat dalam pembelian hartanah kediaman atau unit berskala kecil dengan tujuan memperoleh pendapatan sewaan atau peningkatan nilai aset pada masa hadapan. 

Pendekatan ini selari dengan prinsip muamalat Islam yang menekankan transaksi berasaskan aset sebenar, keadilan dalam urus niaga serta bebas daripada unsur riba, gharar dan maisir.

Pelaburan hartanah patuh syariah bukan sahaja melibatkan pemilikan aset fizikal tetapi turut merangkumi aspek pembiayaan dan penggunaan hartanah. Pemilihan pembiayaan perumahan Islamik yang bebas riba menjadi asas penting bagi memastikan transaksi selaras dengan prinsip syariah. 

Selain itu, aktiviti yang dijalankan oleh penyewa juga perlu dipastikan tidak bercanggah dengan nilai dan etika Islam.

Pendekatan patuh syariah ini memberi keyakinan kepada pelabur Muslim bahawa pendapatan yang diterima adalah halal dan beretika. Pada masa sama, pelaburan hartanah berasaskan aset sebenar turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi dengan menggalakkan aktiviti ekonomi yang produktif dan mampan.

Aplikasi pelaburan hartanah patuh syariah kepada pelabur runcit bermula dengan pemilihan pembiayaan perumahan Islamik yang ditawarkan oleh mana-mana institusi kewangan patuh syariah. Pembiayaan ini lazimnya berasaskan kontrak muamalat seperti murabahah atau musharakah mutanaqisah yang bebas daripada unsur riba serta menekankan prinsip keadilan dan ketelusan. 

Melalui kontrak ini, pelabur runcit dapat memahami struktur pembayaran dan komitmen kewangan sebenar sebelum membuat keputusan pelaburan, sekali gus mengurangkan risiko kewangan dalam jangka panjang. 

Selain aspek pembiayaan, aplikasi patuh syariah turut merangkumi penggunaan dan penyewaan hartanah. 

Bagi hartanah kediaman, pelabur runcit perlu memastikan rumah yang disewakan tidak digunakan untuk aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang dan prinsip Islam seperti penyalahgunaan atau pengedaran dadah serta kegiatan tidak bermoral. 

Manakala bagi hartanah komersial, pelabur perlu meneliti jenis perniagaan penyewa dan memastikan aktiviti seperti penjualan arak, perjudian atau urus niaga haram tidak dijalankan sebelum perjanjian sewaan dimeterai.

Pendekatan ini memastikan pendapatan sewaan yang diterima kekal halal serta menjadikan pelaburan hartanah sebagai satu bentuk pengurusan harta yang beretika dan patuh syariah.

Pelaburan hartanah berada pada tahap risiko sederhana ke tinggi dengan potensi pulangan yang lebih stabil dalam jangka panjang.

Pelaburan hartanah bukan pelaburan segera, sebaliknya memerlukan komitmen dan pengurusan risiko yang baik. Kefahaman terhadap hubungan risiko dan pulangan ini penting agar pelabur membuat keputusan yang rasional dan berlandaskan kemampuan sebenar, bukannya dipengaruhi oleh jangkaan keuntungan semata-mata.

Secara keseluruhannya, pelaburan hartanah patuh syariah merupakan instrumen yang relevan dan praktikal untuk pelabur runcit di Malaysia. 

Walaupun melibatkan komitmen kewangan yang signifikan, potensi pendapatan sewaan serta peningkatan nilai aset menjadikannya pilihan yang berkesan dalam pembinaan kekayaan jangka panjang. 

Dengan perancangan kewangan yang rapi, pemahaman risiko serta pematuhan prinsip syariah membolehkan pelabur runcit memanfaatkan pelaburan hartanah sebagai sumber pendapatan yang mampan dan menyokong kestabilan kewangan masa hadapan. – UTUSAN

 

HUSNA HAYANI FIRDAN DARWIS & PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI

Fakulti Ekonomi Dan Muamalat,

Universiti Sains Islam Malaysia

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN