Musim perayaan bukan masa menipu pengguna

Musim perayaan bukan masa menipu pengguna

PENGGUNA perlu bijak dan peka terhadap hak ketika membeli-belah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali musim perayaan menjelang, pengguna sering teruja dengan pelbagai promosi dan jualan istimewa. Namun dalam keterujaan itu, pengguna tetap perlu mengetahui hak mereka. 

Di Malaysia, beberapa undang-undang pengguna berperanan melindungi orang ramai daripada penipuan, kenaikan harga melampau dan amalan tidak beretika.

Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) menjadi payung utama perlindungan pengguna. Akta ini menjamin hak kepada keselamatan, iaitu barangan dan perkhidmatan mestilah selamat serta seperti yang dinyatakan. 

Peniaga juga wajib memberikan maklumat yang tepat dan tidak mengelirukan dalam iklan. Selain itu, pengguna berhak kepada terma kontrak yang adil, sekali gus menolak polisi ‘tiada bayaran balik’ yang menafikan hak asas. Jika barangan rosak atau cacat, pengguna boleh menuntut pembaikan, penggantian atau bayaran balik.

Jika berlaku pertikaian, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) menyediakan saluran mudah dan kos rendah. Pengguna boleh memfailkan tuntutan sehingga RM50,000 tanpa perlu melalui proses mahkamah sivil yang rumit. Mekanisme ini memudahkan penyelesaian kes, khususnya bagi barangan yang rosak, tidak seperti diiklankan atau tidak dihantar semasa jualan perayaan.

Dalam masa sama, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melindungi pengguna daripada kenaikan harga tidak munasabah, terutama bagi barangan keperluan. Kerajaan turut melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bagi mengekang peniaga yang cuba mengambil kesempatan.

Peniaga juga wajib mematuhi Peraturan Paparan Tanda Harga dengan mempamerkan harga secara jelas. 

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan. Bagi pembelian dalam talian, Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) mewajibkan peniaga memaparkan maklumat harga, butiran penjual, penerangan produk yang tepat serta saluran aduan.

Kesemua undang-undang ini melindungi pengguna daripada promosi palsu, kenaikan harga melampau dan penipuan dalam talian. Justeru, pengguna perlu bertindak bijak dengan membandingkan harga, menyimpan resit dan melaporkan pelanggaran kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) atau memfailkan tuntutan melalui TTPM apabila perlu. –UTUSAN

 

BULBIR SINGH

Bekas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN