MELANGKAH masuk ke sebuah pasar raya besar baru-baru ini, saya ‘disambut’ oleh pemandangan yang sederhana, namun sarat dengan makna. Di bahagian kanan pintu masuk, tersusun kemas limau mandarin, biskut perayaan, kotak hadiah berwarna merah serta hiasan tanglung yang melambangkan kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina.
Beberapa langkah ke sebelah kiri pula, suasana berubah apabila rak-rak dipenuhi kurma, manisan dari Asia Barat, air sirap dan pelbagai juadah yang sinonim dengan persiapan menyambut bulan Ramadan.
Pemandangan ini, walaupun nampak biasa, namun sebenarnya menggambarkan sesuatu yang luar biasa. Ia mencerminkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian budaya dan agama, namun mampu berkongsi ruang dengan penuh harmoni.
Dua perayaan besar, Tahun Baharu Cina dan Ramadan bertemu dalam satu masa dan satu lokasi, tanpa kekok atau rasa terasing.
Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina merupakan perayaan terpenting yang menandakan permulaan tahun baharu mengikut kalendar lunar. Ia diraikan dengan penuh harapan agar tahun yang mendatang membawa rezeki, kesejahteraan dan kebahagiaan.
Persiapan biasanya dilakukan lebih awal, termasuk membeli limau mandarin sebagai simbol kemakmuran, menyediakan kuih dan biskut tradisional, serta menghias kediaman dengan warna merah yang melambangkan tuah dan kegembiraan.
Dalam masa sama, kehadiran bulan Ramadan membawa suasana berbeza tetapi tidak kurang bermaknanya. Ramadan adalah bulan yang dinanti-nantikan oleh umat Islam sebagai ruang untuk memperbaiki diri, meningkatkan ibadah dan memperkukuh hubungan sesama manusia. Persiapan menyambut Ramadan bukan sekadar tertumpu kepada makanan untuk berbuka puasa, seperti kurma dan manisan, tetapi juga melibatkan persediaan rohani, emosi dan mental.
Menariknya, persiapan ini wujud seiring tanpa menenggelamkan antara satu sama lain. Tiada siapa yang merasa terganggu, sebaliknya masing-masing kelihatan selesa memilih keperluan perayaan sendiri. Keadaan ini seolah-olah sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan rakyat Malaysia, yang mana keistimewaan ini jarang ditemui di tempat lain.
Situasi ini juga mencerminkan kematangan masyarakat dalam memahami dan menghormati perbezaan. Kehadiran barangan Ramadan di samping kelengkapan Tahun Baharu Cina di pasar raya yang sama menunjukkan kepekaan peniaga terhadap keperluan pelbagai kaum.
Ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengguna, malah menggambarkan semangat inklusif dalam dunia perniagaan tempatan.
Dari sudut ekonomi pula, pertembungan dua perayaan besar ini memberi kesan yang positif. Peniaga memperoleh peluang meningkatkan jualan, manakala pengguna menikmati kemudahan dan pilihan yang lebih luas di satu lokasi.
Aktiviti membeli-belah yang rancak menjelang musim perayaan ini turut merancakkan ekonomi setempat dan memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Lebih daripada itu, suasana sebegini menjadi ruang pembelajaran yang bernilai, khususnya kepada generasi muda. Anak-anak yang dibawa bersama ibu bapa berpeluang melihat secara langsung bagaimana perbezaan budaya diraikan dalam satu masyarakat.
Pengalaman ini secara tidak langsung menyemai nilai saling menghormati dan membentuk asas perpaduan sejak usia awal.
Inilah wajah sebenar Malaysia. Kepelbagaian bukan sekadar slogan tetapi diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Namun, keharmonian ini perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, bertolak ansur dan memahami sensitiviti agama serta budaya masing-masing. – UTUSAN
NORHAFIZA MUDA
Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan di Bahagian Fizik,
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)










