IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar sambutan Tahun Baharu Cina dihayati untuk memperkukuh semangat kebersamaan dan kekeluargaan demi keamanan negara.
Menurut beliau, keamanan menjadi teras kepada rakyat untuk hidup dalam suasana harmoni dan mencari rezeki ketika ekonomi negara semakin baik.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa menekankan kepentingan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta mempertahankan kestabilan negara.
“Semangat Tahun Baharu Cina perlu dihayati. Tahun ini tahun kuda, maknanya tahun ini ada ‘ong’ sebab kuda haiwan yang berlari laju, berani, gagah, kuat dan boleh menghadapi mana-mana cabaran.
“Saya harap semangat Tahun Baharu Cina benar-benar dihayati. Kalau Malaysia mahu maju, senang cari makan, ekonomi naik, pendidikan lebih tinggi, kemudahan hospital lebih baik maka kita kena jaga negara kita dengan aman.
“Nombor satu mesti aman, kalau kita gaduh, kita negeri kaya pun hancur. Jadi semangat Tahun Baharu Cina tahun ini, ini tahun kuda perlu sama-sama dihayati demi mengangkat Malaysia jadi lebih maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Bersama Warga Tambun di SJKC Chong Hwa Kanthan, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan beliau hanya memberi tumpuan membantu kepada kaum tertentu sahaja.
Menurutnya, tugas sebagai seorang pemimpin memerlukan beliau wajib menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Ada orang Melayu kata tengoklah Anwar hanya bercakap fasal sekolah Cina sahaja. Ada orang yang macam itu padahal sekolah Melayu, sekolah Tamil, sekolah di Sabah semua saya bantu.
“Kalau mahu jadi ketua dalam negara ini, kita mesti jaga semua. Semangat ini mesti ada, kalau hendak jadi ketua mesti sayang semua kaum. Kalau kita tengok orang Melayu di kampung di Kelantan yang miskin, kita rasa. Kalau ke Kanthan ada orang Cina tua yang sakit dan susah, kita kena rasa.
“Kalau ke estet di Teluk Intan ada orang India miskin, kita kena rasa, barulah boleh jadi pemimpin di Malaysia,” katanya.
Pada majlis tersebut Anwar turut mengumumkan peruntukkan sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja naik taraf kemudahan asas di Kampung Baru Kanthan. – UTUSAN










