PETALING JAYA: Malaysia tidak pernah mengatur atau mempengaruhi proses keamanan dan perjanjian damai Thailand-Kemboja dari belakang tabir hingga disifatkan sebagai ‘musuh dari dalam’.
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar berkata, dakwaan bekas Mejar Jeneral Thailand, Rangsi Kitiyansap bahawa Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai hidden hand dalam menentukan hala tuju rundingan damai antara kedua-dua negara tersebut adalah sangat tidak berasas.
Katanya, tuduhan yang turut tular di media sosial itu juga amat mengecewakan kerana datang daripada individu yang sepatutnya memahami asas kerjasama pertahanan dan hubungan ketenteraan serantau.
Katanya, kecaman yang dibuat tidak mencerminkan realiti proses diplomasi dan keputusan berasaskan konsensus.
“Dakwaan seperti ini bukan sahaja tidak berasas dan tidak adil, malah amat mengecewakan, terutama apabila ia datang daripada bekas pegawai kanan tentera.
“Tohmahan ini menggambarkan kurangnya kefahaman terhadap prinsip pusat ASEAN dan mengabaikan kerangka kerjasama yang mendasari proses damai ini. ia juga menjejaskan prinsip profesionalisme dan saling menghormati yang menjadi asas hubungan ketenteraan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia hanya bertindak sebagai pemudah cara rundingan awal selepas kedua-dua negara itu menyatakan kesediaan untuk meredakan ketegangan sehingga membawa kepada persetujuan gencatan senjata berkuat kuasa 28 Julai lalu.
Katanya, keseluruhan proses damai tersebut dilaksanakan secara terbuka serta dipersetujui bersama oleh semua negara yang terlibat dalam pelaksanaannya.
“Delegasi pertahanan Malaysia kemudian berada di Bangkok dan Phnom Penh bagi menyelaraskan langkah pelaksanaan persetujuan itu bersama kepimpinan ketenteraan kedua-dua negara.
“Malaysia seterusnya menyelaras penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) dan Pasukan Pemerhati Interim Dipertingkat (IOT) untuk melaksanakan pemantauan di kawasan sempadan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Nizam berkata, dokumen rasmi yang menjadi asas kepada proses berkenaan turut disepakati secara telus oleh semua kerajaan terlibat dengan komitmen terhadap keamanan, keselamatan, kerjasama kemanusiaan serta kestabilan serantau.
“Malaysia tidak mencari pujian atau pengiktirafan. Kepentingan kami hanyalah memulihkan kestabilan, melindungi nyawa dan memelihara solidariti serantau.
“Anggota tentera kedua-dua pihak berhak untuk menurunkan senjata manakala keluarga yang hidup dalam ketakutan berhak kembali kepada kehidupan yang aman,” katanya.
Katanya lagi, usaha mencapai keamanan memerlukan kejelasan keutamaan serta keupayaan untuk mengetepikan ego politik dengan penuh kesabaran dan keberanian moral.
“Dari awal, tiga prinsip memandu setiap langkah kami, iaitu keamanan itu mahal, nyawa itu tidak ternilai dan masa itu kritikal. Menuduh pemimpin lain sebagai pengkhianat atau perisik tanpa bukti tidak menjatuhkan orang yang dituduh tetapi menjatuhkan maruah penuduh sendiri,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan awal pelaksanaan persetujuan di lapangan juga menunjukkan kemajuan nyata.
“Saya yakin Pasukan Pemerhati ASEAN bersama kerajaan Thailand dan Kemboja akan menunaikan komitmen yang disepakati di Kuala Lumpur. Perkembangan sudah kelihatan di lapangan dengan penarikan senjata, operasi nyah periuk api dan komuniti sempadan yang mula kembali kepada kehidupan biasa,” katanya.
Tegasnya, Malaysia kekal berpegang kepada prinsip penyelesaian yang dipandu ASEAN, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta pelaksanaan telus dalam setiap persetujuan damai.
“ATM akan terus menjadi rakan yang dipercayai dalam menjayakan nilai bersama ini,” tegasnya. – UTUSAN










