Dalam era digital yang semakin kompleks, persoalan utama bukan hanya mengapa masyarakat kurang membaca tetapi bagaimana sistem sosial, pendidikan dan teknologi secara kolektif membentuk tabiat tersebut.
Telefon pintar, media sosial dan kandungan video pendek kini mendominasi kehidupan seharian. Walaupun capaian kepada maklumat semakin mudah, masa untuk pembacaan mendalam semakin mengecil namun, kandungan pantas dan bersifat visual sering menggantikan teks yang memerlukan tumpuan, kesabaran dan pemikiran reflektif.
Akibatnya, membaca mula dilihat sebagai aktiviti yang berat dan kurang relevan. Gaya hidup moden yang menekan turut menyumbang kepada fenomena ini. Tekanan kerja, komitmen keluarga dan keletihan mental menjadikan hiburan digital pilihan utama untuk berehat.
Algoritma media sosial pula direka untuk mengekalkan perhatian melalui kandungan segera dan berulang. Dalam keadaan ini, membaca buku atau artikel panjang sering dianggap membebankan, sekali gus menormalisasikan kemalasan kognitif dan pemikiran cetek.
Implikasinya, individu yang kurang membaca cenderung menghadapi masalah penguasaan bahasa, keterbatasan kosa kata dan kesukaran membina hujah yang tersusun.
Dalam jangka panjang, kelemahan ini menjejaskan kualiti komunikasi, pembuatan keputusan dan produktiviti organisasi, seterusnya memberi kesan kepada daya saing negara.
Hakikatnya, membaca bukan aktiviti pasif. Ia merupakan proses dialog intelektual antara pembaca dan teks yang membina keupayaan menilai idea, menyaring maklumat dan membuat pertimbangan beretika. Inilah asas kepada pemikiran kritis yang amat diperlukan dalam era Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kecerdasan buatan (AI).
Usaha memupuk budaya membaca memerlukan pendekatan holistik. Institusi pendidikan perlu menggalakkan pembacaan kritikal dan diskusi terbuka, manakala guru serta pensyarah berperanan sebagai pemodel budaya ilmu.
Ibu bapa pula perlu membina persekitaran rumah yang menyokong amalan membaca sejak usia awal. Pada masa sama, teknologi harus dimanfaatkan sebagai pemudah cara melalui buku digital dan audio buku, bukan sebagai pengganti kepada pemikiran mendalam.
Jika Malaysia ingin melahirkan warga yang berilmu, beretika dan mampu menilai maklumat secara bijaksana, maka budaya membaca perlu dikembalikan sebagai teras pembangunan insan dan negara. – UTUSAN
CHE NURIN NADIA FARHANA MOHD. SABRI & NURUL NISHA MOHD. SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
UiTM Negeri Sembilan Kampus Rembau










