Sejauh mana budaya membaca masa kini?

Sejauh mana budaya membaca masa kini?

PIHAK kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan yang lainnya, perlu memikirkan strategi baharu bagi meningkatkan budaya membaca.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA dapatan kajian Perpustakaan Negara Malaysia menyebut bahawa terdapat peningkatan ketara kadar pembacaan dari 15 buku pada tahun 2014 kepada 24 naskhah buku pada tahun 2024, saya menjadi agak hairan.

Benarkah kadar pembacaan buku naik dengan banyaknya? Sedangkan realiti di luar sana, tidak menunjukkan tanda-tanda kebenaran dapatan itu. Apa bahan bacaan mereka itu? Bahan picisan, buku kisah cinta atau apakah perinciannya?

Media melaporkan, 348 perpustakaan ditutup sejak lima tahun lalu, penerbit-penerbit buku mengalami masalah lambakan buku, kedai-kedai buku kelihatan kurang dikunjungi dan naskhah akhbar yang terjual, semakin berkurangan.

Banyak sungguh majalah yang sudah lenyap sama sekali. Majalah Mastika, URTV, Wanita, Jelita dan Massa, sudah lama ghaib. Cuba lihat di kedai akhbar atau kedai buku, berapa kerat majalah yang masih ada.

Mengapa demikian? Kerana kos penerbitan sangat tinggi dan jumlah jualan serta hasil pengiklanan tidak dapat menampung pelbagai kos yang tinggi.

Apatah lagi zaman digital sekarang, sukar untuk membiayai penerbitan bahan fizikal. Senario di sekolah pula, meskipun ada Program Nilam, benarkah budaya membaca berjaya dipupuk? Pelajar seperti terpaksa membaca atau merebut hadiah yang ditawarkan, maka tidak berlaku penghayatan budaya membaca secara tuntas seperti yang dimatlamatkan.

Selepas meninggalkan bangku sekolah, pelajar sudah melupakan buku, kecuali yang meneruskan pengajian di kolej dan universiti. Fokus mereka ialah untuk membaca buku berkaitan pengajian mereka.

Lihat senario di rumah kediaman penduduk Malaysia. Rak-rak buku atau perpustakaan mini semakin sukar kelihatan. Hadiah buku bagi sebarang majlis atau program dianggap sesuatu yang kurang menarik.

Memanglah kehadiran di pesta buku di sana sini, masih menarik hati orang awam untuk datang dan membeli buku, apatah lagi dengan adanya kehadiran tokoh, selebriti dan pempengaruh sebagai tarikan. Tetapi realiti pembelian dan pembacaan masih lesu.

Tidak dinafikan, ada penulis yang tinggi sahamnya dalam masyarakat dan buku mereka menjadi best seller serta dinanti-nantikan kehadiran. Ramli Awang Murshid, Syed Mahathir Syed Ibrahim dan HM Tuah Iskandar, antaranya.

Mujur Dewan Bahasa dan Pustaka masih menerbitkan sebelas buah majalah dan pelbagai judul buku, tetapi mereka menggunakan peruntukan kerajaan untuk tujuan itu. Yang sakit, penerbit persendirian.

Pada era kemajuan digital dan globalisasi sekarang, penggunaan gajet sebagai rujukan ilmu juga semakin berkembang, termasuk untuk berlibur dan bermain permainan digital. Segalanya di hujung jari. Budaya bentuk baharu kian menghakis budaya membaca.

Maka pihak kerajaan, termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan yang lainnya, perlu memikirkan strategi baharu bagi meningkatkan budaya membaca. Jangan selesa dengan dapatan yang indah-indah, yang tidak mencerminkan situasi sebenar di bawah.

Malah, para penerbit dan syarikat akhbar perlu duduk semeja dengan pihak berkuasa bagi mencari langkah efektif memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Era dunia tanpa sempadan menuntut perubahan pendekatan.

Jika sesuatu tidak dilakukan segera, banyak syarikat penerbitan dan akhbar akan gulung tikar dan generasi baharu akan terus-terusan mengetepikan budaya membaca, yang kita bimbangkan. – UTUSAN

MUSTAFFA SIRAJ
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN