BANGSA yang membaca adalah bangsa yang bertamadun. Bangsa yang membaca mampu ‘menjawil’ dunia. Kemajuan yang dikecapi setelah 67 tahun mencapai kemerdekaan adalah hasil kebijaksanaan para cendekiawan yang terus membaca. Mereka tidak pernah kekeringan idea dalam semua bidang.
Para ilmuwan bukan sahaja membaca malah mampu menghasilkan bahan ilmiah, bahan rujukan dan pelbagai lagi sumber bacaan yang mendapat pengiktirafan dalam negara dan peringkat antarabangsa.
Alangkah sedihnya ungkapan membaca itu jambatan ilmu, yang kini tinggal sebagai bahan pahatan di dinding sekolah dalam bentuk mural. Ia menjadi ungkapan klasik yang begitu berat untuk disebut malah terlalu rumit untuk diamalkan oleh anak pendukung warisan negara.
Kajian tentang budaya membaca di negara kita jelas tidak berpihak kepada kita. Data menunjukkan masyarakat Malaysia hanya membaca, tajuk atau rangkai kata utama yang disiarkan dalam mana-mana media dan ia ada kalanya dikategorikan sebagai ‘terbaca’. Situasi ini amat merungsingkan. Malahan anak muda kita, ada yang tidak pernah menyentuh atau merasai surat khabar seperti Utusan Malaysia dalam bentuk cetakan.
Jika situasi ini berterusan, kita bakal menguburkan semua akhbar harian di dalam negara. Populasi negara yang terkini melepasi angka 34 juta, namun akan terhenti degupan jantung, jika kita merisik bilangan naskah akhbar yang dicetak setiap hari. Hanya 0.005 peratus sahaja. Sanggupkah kita menamatkan riwayat akhbar tempatan yang menjadi nadi penyebar berita sejak berdekad?
Mari kita pijak di bumi nyata. Kini tiba saatnya untuk kita mencari jalan bijak dalam menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya anak-anak berjiwa nasionalisme.
BEKAL BUKU
Bahan bacaan perlu dijadikan sebagai rakan taulan yang boleh berbicara. Sahabat yang mampu mendengar luahan hati si pembaca celik. Bekalkan buku bersama bekal ke sekolah. Jadikan rutin, melawat perpustakaan sekolah sesuatu yang wajib. Bahan bacaan walaupun sehelai, nilainya bersamaan mengelilingi dunia yang tanpa sempadan ini. Semarakkan budaya membaca sejak bayi di rahim ibu. Para bapa membaca bersama ibu.
AKHBAR DALAM BILIK DARJAH
Jadikan sekolah sebagai pusat penyebaran budaya membaca. Negara kita dilimpahi dengan para pendidik yang begitu berdedikasi, berjiwa kemasyarakatan, kreatif dan inovasi. Kini tiba masanya, untuk kita menyuburkan semula amalan Akhbar Dalam Bilik Darjah.
Para guru berkongsi inipati sesuatu artikel yang disiarkan dalam akhbar. Praktikkan aktiviti yang mampu mendekatkan hati pelajar kepada akhbar secara amnya dan kepada budaya membaca secara khususnya. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain ungkapan yang sesuai bagi mencerminkan amalan membaca. Setiap kosa kata yang dibaca, didengar, dihayati mampu menjadikan anak bangsa gedung ilmu. Proses ini akan memberi dampak yang mendalam jika diteruskan secara koheren dan bersistematik.
DEKAD MEMBACA KEBANGSAAN
Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik pada 13 Disember 2018 harus dijadikan sebagai ‘halwa maskat’ dalam pembudayaan membaca. Kita bangga apabila program ini turut menjadi intipati utama dalam agenda Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui pelancaran Karnival Dekad Bahasa dan Membaca Kebangsaan pada 25 Oktober 2023.
Pelancaran karnival ini telah membuka mata masyarakat terutamanya ibu bapa akan peri pentingnya pembudayaan membaca dan menggalakan mereka mendapatkan buku-buku yang menjadi asas kepada literasi terutamanya dalam bahasa Malaysia. Diharapkan ia bukan menjadi hangat-hangat tahi ayam, biar api yang membara menerjah degupan jantung si pembaca muda, menjadikan mereka cendekiawan tersohor.
Peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada pelbagai persatuan belia, lembaga, majlis, gabungan pelajar-pelajar perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam melahirkan minat membaca dalam kalangan anak-anak kita.
Permuafakatan antara badan bukan kerajaan dengan komuniti setempat harus disilaturahimkan agar hubungan sosial semakin akrab. Jadikan projek anak angkat kampung, taman-taman, pangsapuri, projek perumahan rakyat sebagai agenda utama dan merealisasikannya dengan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembudayaan membaca.
IBADAH
Membaca merupakan suatu ibadah yang dapat mendekatkan kita dengan Tuhan. Pembacaan dapat menjelaskan niat dan menjernihkan hati yang kusut masai. Bahan bacaan menjadi wadah dalam pembinaan ummah yang bertakwa dan beriman.
Warna-warna kehidupan anak muda haruslah bertapak di surau, masjid, kuil, gereja, tokong, gurdwara, wat atau apa sahaja tempat suci yang menjadi pusat permuafakatan penganut. Berikan galakan dan sediakan ruang membaca kepada generasi Revolusi Industri (IR) 4.0 yang gemar berdondang sayang dengan gajet dan bukannya bahan bacaan.
Program baucer buku boleh direformasikan. Penyaluran hadiah buku bersesuaian dengan tahap umur boleh direncanakan. Program ini boleh dilaksanakan secara menyeluruh di semua institusi pendidikan seperti mana program bantuan awal tahun dilaksanakan.
Program ini bukan sahaja mampu merancakkan tabiat membaca dalam kalangan kanak-kanak tetapi boleh menjadi lumrah masyarakat. Budaya ini merupakan antara cara kita meluahkan rasa terima kasih atau penghargaan dengan bahan bacaan dapat menyuburkan budaya membaca malah memberi nafas baharu kepada media massa dan industri percetakan.
Cinta pada buku dan ilmu, cinta yang tidak pernah mengecewakan atau menghampakan sesiapa. Jadi, ayuh bangsa Madani, kita jatuh cinta pada yang benar dan sahih, cintailah buku. – UTUSAN
PENULIS ialah Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang.










