Lindungi data elak penipuan dalam talian

Lindungi data elak penipuan dalam talian

TUKAR kata laluan, aktifkan pengesahan dua faktor, semak peranti yang sedang log masuk dan keluar daripada sesi yang tidak dikenali sekirannya menjadi mangsa scam dalam talian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sehari dua kita dengar orang kena tipu dalam talian tetapi angka rasmi menunjukkan isu ini sudah menjadi beban besar kepada masyarakat. Setakat sehingga September 2025 sahaja, sebanyak 47,854 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian mencecah RM1.919 bilion.

Apabila bercakap tentang scam, ramai terus membayangkan wang yang hilang. Namun realitinya, ia semakin rapat dengan isu privasi dan keselamatan data. Wang biasanya hilang selepas scammer berjaya mendapatkan akses kepada maklumat peribadi atau akaun penting. 

Jika kita menerima mesej atau panggilan yang mencurigakan, perkara paling penting ialah jangan panik. Scammer mahu kita membuat keputusan dalam beberapa minit. Ambil masa untuk semak melalui saluran rasmi. Hubungi nombor yang kita cari sendiri, bukan nombor yang diberi dalam mesej. 

Semak juga melalui aplikasi rasmi, bukan pautan yang dihantar. Jika kita sudah terlepas berkongsi maklumat atau akaun seperti sedang diambil alih, mulakan dengan mengunci emel utama. Tukar kata laluan, aktifkan pengesahan dua faktor, semak peranti yang sedang log masuk dan keluar daripada sesi yang tidak dikenali. Selepas itu barulah urus akaun lain yang berkait, termasuk akaun kewangan dan media sosial.

Kita mungkin tidak dapat mengawal semua perkara, termasuk kemungkinan kebocoran data di luar sana. Namun kita boleh menguatkan pertahanan yang paling dekat dengan kita, iaitu tabiat harian. Kata laluan yang lebih baik, pengesahan dua faktor, kemas kini telefon, kawalan kebenaran aplikasi dan pendidikan privasi dalam keluarga ialah langkah asas yang nampak kecil, tetapi besar kesannya. 

Dalam dunia yang semakin bergantung pada telefon, privasi bukan isu teknikal semata-mata. Ia isu keselamatan diri dan keluarga dan ia bermula dengan disiplin mudah yang kita pilih untuk buat setiap hari.-UTUSAN

 

MOHAMAD AMIRUL MOHD. ADNAN ALI

Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN