UNIT amanah Islam ialah skim pelaburan kolektif yang mana wang daripada pelabur dikumpulkan dan dilaburkan ke dalam aset patuh syariah seperti saham, sukuk dan instrumen pasaran wang Islam.
Semua pelaburan ini disaring dengan teliti dan dipantau oleh panel penasihat syariah bagi memastikan ia bebas daripada unsur riba, gharar dan aktiviti yang dilarang dalam Islam.
Bagi pelabur baharu, unit amanah Islam menawarkan kelebihan yang besar kerana tidak perlu membuat keputusan pelaburan secara individu. Dana yang dilaburkan akan diuruskan oleh pengurus dana profesional yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam mengurus risiko serta strategi pelaburan. Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko kesilapan pelaburan yang sering berlaku dalam kalangan pelabur yang kurang berpengalaman.
Malaysia mempunyai ekosistem kewangan Islam yang kukuh dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ini menjadikan Unit Amanah Islam mudah diakses oleh pelabur runcit daripada pelbagai latar belakang.
Antara peluang utama yang ditawarkan oleh instrumen ini ialah kebolehan untuk mempelbagaikan pelaburan walaupun dengan modal permulaan yang kecil.
Melalui platform seperti Wahed Invest, pelabur boleh melabur dalam portfolio yang telah distrukturkan mengikut tahap risiko masing-masing, sama ada berisiko rendah, sederhana atau lebih agresif.
Pendekatan ini membolehkan pelabur baharu memulakan pelaburan secara lebih terancang tanpa perlu memahami selok-belok pasaran kewangan yang kompleks seperti analisis saham atau pergerakan pasaran harian.
Namun pelabur perlu memantau prestasi pelaburan secara berkala. Walaupun dana diuruskan secara profesional, namun pelabur tetap bertanggungjawab untuk memahami prestasi portfolio dan membuat pelarasan jika matlamat kewangan berubah.
Unit Amanah Islam merupakan pilihan pelaburan yang praktikal dan beretika bagi pelabur muslim di Malaysia, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Dengan sokongan teknologi digital seperti Wahed Invest, pelabur baharu kini boleh memulakan pelaburan dengan lebih yakin, tersusun dan selari dengan prinsip syariah tanpa perlu berhadapan dengan proses yang rumit atau pengetahuan teknikal yang mendalam.
Gabungan ilmu kewangan, disiplin pelaburan dan kemudahan digital menjadikan unit amanah Islam semakin relevan dalam dunia kewangan moden. Platform digital bukan sahaja memudahkan akses kepada pelaburan patuh syariah, malah membantu pelabur memahami risiko, memantau prestasi dan membina tabiat pelaburan jangka panjang yang lebih berdisiplin. Pendekatan ini amat penting terutamanya bagi pelabur runcit yang baru berjinak-jinak dalam dunia pelaburan.
Lebih penting, pelaburan patuh syariah mengajar pelabur untuk melihat pelaburan sebagai amanah, bukan sekadar alat untuk mengejar keuntungan segera.
Prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab sosial yang mendasari unit amanah Islam menjadikan pelaburan ini lebih seimbang antara kepentingan individu dan kesejahteraan masyarakat.
Melalui pemilihan instrumen pelaburan beretika, pelabur secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih adil dan mampan.
Unit amanah Islam bukan sahaja relevan dari sudut agama tetapi juga dari sudut praktikal dan kewangan.
Dengan pendekatan yang betul, sokongan teknologi dan kesedaran etika, membolehkan pelabur berpeluang membina kestabilan kewangan jangka panjang yang bukan sahaja menguntungkan, malah membawa nilai dan keberkatan dalam kehidupan.-UTUSAN
SITI NUR FARAHIN ABDUL BAQI & PROFESOR DR. NURADLI RIDZWAN SHAH MOHD. DALI
Fakulti Ekonomi dan Muamalat
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










