APABILA berbicara tentang pendidikan, kita sering melaungkan hasrat melahirkan insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Namun, apabila masyarakat semakin kebal terhadap undang-undang, hilang amanah, mudah menyalah guna kuasa dan rasuah seolah menjadi budaya tidak rasmi, timbul pula persoalan ke mana hanyutnya penerapan nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah? Jika sekolah ialah tapak membina watak bangsa, mengapa hasilnya masih banyak pincang dan merosakkan?
Nilai murni bukan sekadar hiasan buku teks atau ayat indah dalam dokumen dasar. Ia sepatutnya menjadi roh kepada setiap aktiviti pembelajaran daripada cara guru bercakap, murid berfikir, hingga bagaimana keadilan ditegakkan di bilik darjah. Namun realiti menunjukkan nilai murni semakin menjadi ritual formaliti, bukan pembentukan peribadi.
Murid menghafal definisi amanah dan integriti tetapi belum tentu menghayati maknanya apabila diuji oleh tekanan dan godaan.
Sistem pendidikan kini terlalu dibebankan budaya pencapaian sempit. Kejayaan diukur melalui angka, gred, ranking dan peratus lulus sekali gus meminggirkan nilai murni. Natijahnya, ramai murid membesar dengan minda bahawa yang penting ialah menang, bukan benar, nampak berjaya, bukan berakhlak.
Tanpa prinsip nilai sejak kecil, mereka memasuki dunia dewasa dengan ‘kompas moral’ kabur dan mudah diputar oleh kepentingan diri.
Lebih menyedihkan, nilai murni diajar secara tidak hidup. Guru menyebut kejujuran dalam satu waktu pengajaran tetapi suasana sekolah tidak memberi ruang agar kejujuran itu tumbuh. Murid ditekan menyiapkan kerja cepat, lalu belajar meniru.
Ada yang takut dimarahi jika gagal, lalu belajar berbohong. Budaya ‘asal nampak kemas’ mengajar murid menutup kelemahan, bukan memperbaiki diri. Nilai murni hanyut bukan kerana tidak diajar tetapi kerana tidak dibiakkan dalam budaya sekolah.
Ketidakseimbangan antara pendidikan nilai dan peperiksaan jelas. Banyak masa diperuntukkan untuk latihan menjawab, modul dan latihan berulang, sementara pendidikan nilai berlaku sambil lewa, sebaris dua baris dalam buku teks atau peringatan ringkas dalam perhimpunan. Nilai tidak boleh dituangkan seperti air ke dalam gelas sebaliknya perlu dipupuk seperti tanaman, disiram, dibaja dan dijaga.
Rasuah, salah guna kuasa, dan tidak amanah bermula daripada perkara kecil yang diremehkan seperti menipu tanda tangan ibu bapa, meniru kerja rumah, berbohong tentang kelewatan. Jika budaya ini dianggap biasa, apabila dewasa nanti mereka menganggap menipu dalam urusan besar juga perkara biasa. Nilai murni sepatutnya benteng, tetapi kini sekadar slogan.
Penerapan nilai juga terjejas apabila wujud jurang antara apa yang sekolah ajar dan apa yang masyarakat pamerkan. Murid hidup dalam era media sosial dengan melihat kekayaan ditayang tanpa diketahui sumbernya, menipu dipuji sebagai bijak, tindakan tidak bermoral mendapat perhatian. Jika sekolah tidak membimbing murid menilai dan berfikir secara kritis, nilai murni akan hanyut ditelan arus populariti.
Guru sering menjadi mangsa keadaan. Tugas bertambah dengan data, laporan, program, tugasan pentadbiran. Pengajaran nilai menjadi korban kerana dianggap ‘tidak mendesak’. Guru mahir melaksanakan pengajaran nilai secara berkesan, bilik darjah menjadi ruang subur membina akhlak, bukan sekadar ruang mengejar silibus.
Nilai murni mesti merentas kurikulum. Matematik mengajar ketepatan dan amanah, Sains tanggungjawab terhadap alam, Sejarah jati diri, bahasa menyuburkan adab komunikasi. Pendidikan nilai perlu tanggungjawab seluruh sekolah.
Kementerian Pendidikan (KPM) wajar menilai keberkesanan pendidikan nilai, bukan sekadar ada dalam kurikulum tetapi pastikan ia berjaya membentuk karakter.
Sekolah perlu membina budaya integriti, menggalakkan murid mengaku salah tanpa dihukum secara melampau, memberi peluang memulihkan kesilapan dan mengutamakan proses pembelajaran.
Kolaborasi dengan ibu bapa melalui program keibubapaan dan komunikasi dua hala penting untuk memperkukuh penerapan nilai.
Akhirnya, isu rasuah dan hilang amanah bukan hanya masalah undang-undang tetapi keruntuhan nilai.
Hukuman semata-mata tidak mencukupi sebaliknya memerlukan pendidikan yang menyentuh hati perlu dikembalikan ke akar. Nilai murni mesti menjadi nadi pengajaran dan pembelajaran. Dengan itu, sekolah melahirkan generasi cemerlang di atas kertas, mulia di sisi Tuhan dan dihormati masyarakat.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










