Pilihan raya Datuk Bandar: Jangan jadikan KL makmal politik

Pilihan raya Datuk Bandar: Jangan jadikan KL makmal politik

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur sekiranya dilaksanakan secara tergesa-gesa atau bermotif politik berisiko mencetuskan krisis tadbir urus.

Ketua Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, isu itu bukan hanya berkaitan pentadbiran, tetapi menyentuh teras Perlembagaan Persekutuan, struktur kuasa Persekutuan–Wilayah, keseimbangan demografi bandar serta prinsip keadilan sosial.

“Kuala Lumpur bukan bandar raya biasa, tetapi Wilayah Persekutuan yang diletakkan secara langsung di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Perkara 154 dan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan.

“Memilih Datuk Bandar melalui pilihan raya tanpa rombakan menyeluruh kerangka Perlembagaan adalah penyederhanaan berbahaya terhadap struktur Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, cadangan itu turut memperlihatkan kelemahan struktur pentadbiran sedia ada kerana Datuk Bandar yang dipilih secara langsung akan memiliki legitimasi politik lebih kuat berbanding ahli Parlimen.

“Datuk Bandar terpilih juga berpotensi mengabaikan nasihat wakil rakyat dan menjadi pemimpin bandar berkuasa besar tanpa mekanisme pemecahan kuasa.

“Ini lebih berbahaya daripada sistem lantikan sedia ada yang tertakluk kepada kawalan Kabinet dan Parlimen,” katanya.

Azmer Syazwan turut mencadangkan supaya Majlis Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diperkukuhkan dengan kuasa semak dan imbang sebenar sebagai alternatif kepada pilihan raya Datuk Bandar.

“Terdapat juga kepentingan melibatkan wakil komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR), orang Melayu bandar serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam struktur perancangan bandar, selain mengaudit semula Akta Ibu Kota Persekutuan 1960,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau memberi amaran kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh supaya tidak menjadikan Kuala Lumpur sebagai makmal eksperimen politik.

Katanya, kestabilan bandar tidak boleh dikompromi demi tuntutan ideologi tertentu, terutamanya ketika rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup, perumahan dan keselamatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×