Kanser boleh dicegah

Kanser boleh dicegah

PADA 2022, kira-kira 7.1 juta daripada 18.7 juta kes kanser baharu dikaitkan dengan faktor risiko yang boleh dikawal atau dielakkan seperti merokok. Minuman alkohol dan jangkitan tertentu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEBIH satu pertiga kes kanser sebenarnya boleh dicegah dan hakikat ini wajar membuka mata kita semua. Kajian besar-besaran yang melibatkan hampir 200 negara mendapati banyak kes kanser berkait rapat dengan dua tabiat utama yang boleh diubah suai, iaitu merokok tembakau dan pengambilan alkohol.

Menurut kajian tersebut, yang diterbitkan dalam Nature Medicine, hampir 40 peratus kes kanser baharu di seluruh dunia berpotensi dicegah. 

Pada 2022 sahaja, kira-kira 7.1 juta daripada 18.7 juta kes kanser baharu dikaitkan dengan faktor risiko yang boleh dikawal atau dielakkan. Ini termasuk merokok, minum alkohol dan jangkitan tertentu.

Secara keseluruhan, merokok tembakau muncul sebagai punca utama kanser yang boleh dicegah, menyumbang kira-kira 15 peratus daripada kes tersebut. Ia diikuti oleh jangkitan (10 peratus) dan pengambilan alkohol (3 peratus). Kanser paru-paru, perut dan serviks pula membentuk hampir separuh daripada semua kes kanser yang sebenarnya boleh dielakkan.

Penemuan ini membawa mesej yang jelas dan penting iaitu mengelakkan faktor risiko yang diketahui adalah antara langkah paling berkesan untuk mengurangkan beban kanser pada masa hadapan. 

Namun, trend semasa masih membimbangkan. Kanser kekal sebagai antara punca utama penyakit dan kematian di seluruh dunia dan jumlah kes dijangka terus meningkat jika gaya hidup berisiko tidak dibendung.

Kajian terdahulu turut menganggarkan sekitar 44 peratus kematian akibat kanser di peringkat global berkait dengan punca yang boleh dicegah atau dikawal. Bezanya, kajian terbaharu ini memberi gambaran lebih menyeluruh kerana menilai kes kanser, bukan hanya kematian, serta merangkumi 30 faktor risiko yang boleh diubah suai merentasi 36 jenis kanser.

Hakikatnya, pencegahan bermula dengan pilihan harian. Mengurangkan atau menghentikan tabiat merokok dan pengambilan alkohol bukan sahaja melindungi diri sendiri tetapi juga meringankan beban keluarga, sistem kesihatan dan masyarakat secara keseluruhan.

Kanser bukan semata-mata takdir tetapi dalam banyak keadaan, ia boleh dicegah. -UTUSAN

 

N.V. SUBBAROW
Pegawai Pendidikan dan Aktivis Anti Merokok & Anti Alkohol,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN