RAMAI yang berharap Akta Antibuli 2026 yang diluluskan oleh Parlimen baru–baru ini dapat menangani masalah buli.
Di bawah akta ini, Menteri Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Menteri Dalam Negeri diberi kuasa untuk mengurus dan mengawal selia kes buli di institusi pendidikan atau institusi lain di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa masing–masing.
Ia juga menyatakan bahawa Tribunal Anti-Buli akan ditubuhkan sebagai badan separa kehakiman khusus untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli yang dikemukakan oleh pihak mangsa.
Tribunal ini juga akan diberi kuasa untuk memberikan pampasan yang sewajarnya atau mengeluarkan perintah yang sesuai untuk tujuan perlindungan dan keadilan kepada mangsa buli.
Dengan memberi kuasa kepada Tribunal Anti-Buli untuk menangani aduan dan memberikan pampasan sehingga RM250,000, Akta Antibuli 2026 ini menyediakan mangsa dengan akses yang bermakna kepada proses keadilan.
Kemasukan elemen pemulihan, seperti kaunseling atau perintah sokongan keibubapaan untuk penjaga pesalah, mencerminkan pendekatan pemulihan yang selaras dengan prinsip keadilan, pembaharuan dan akauntabiliti kontemporari.
Kerajaan juga telah menyatakan hasrat mereka untuk mengkaji memperluaskan skop Akta Antibuli 2026 pada tahun ini untuk merangkumi individu berumur 18 tahun ke atas, terutamanya mereka yang berada dalam pendidikan peringkat tinggi.
Penting untuk ditekankan, buli tidak terhad pada usia. Buli juga boleh berlaku disemua peringkat usia sama ada dalam universiti, di tempat kerja, ataupun dalam masyarakat umum.
Adalah diharapkan pihak kerajaan memperluaskan skop Akta Antibuli 2026 ini kepada semua pihak tanpa mengira had usia mereka. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Profesor Madya,
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










