SEKOLAH ialah institusi asas yang membentuk masa hadapan generasi muda, bukan sahaja dari segi akademik, malah dalam pembinaan sahsiah dan kesejahteraan emosi. Namun, hakikatnya pelajar kini berdepan tekanan hebat antara persaingan akademik, masalah keluarga, pengaruh rakan sebaya dan fenomena buli yang semakin membimbangkan.
Hal ini menuntut satu bentuk sokongan profesional yang lebih mantap dalam sistem kaunseling sekolah.
Realitinya, kaunseling di sekolah masih bergantung kepada guru bimbingan dan kaunseling. Walaupun mereka mendapat latihan asas, beban tugas berganda seperti mengajar, mengurus hal ehwal pelajar serta arahan pentadbiran membataskan keupayaan mereka menjalankan kaunseling secara menyeluruh.
Dalam kes buli misalnya, konflik kepentingan atau tekanan pihak pentadbir boleh menyebabkan penyelesaian tidak telus, sekali gus meninggalkan mangsa terus menderita.
Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan memperkenalkan jawatan kaunselor profesional luar yang ditempatkan di sekolah menengah dan sekolah rendah.
Individu ini mestilah berkelayakan dalam bidang kaunseling atau psikologi, berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia serta bebas daripada pengaruh dalaman sekolah. Kehadiran mereka mampu memastikan kes ditangani secara neutral, etika kaunseling terpelihara dan keyakinan pelajar serta ibu bapa terhadap kerahsiaan lebih tinggi.
Manfaatnya sangat besar. Pertama, pelajar lebih berani mendapatkan bantuan tanpa bimbang maklumat mereka bocor.
Kedua, isu serius seperti buli, kemurungan atau tekanan akademik dapat diintervensi awal kerana kaunselor profesional memiliki kemahiran khusus.
Ketiga, guru pula dapat menumpukan sepenuhnya kepada pengajaran tanpa terbeban dengan peranan berganda, sebaliknya bekerjasama dengan kaunselor melalui rujukan kes atau program pencegahan.
Pelaburan kerajaan dalam jawatan ini bukanlah beban tetapi langkah jangka panjang demi kesejahteraan generasi muda.
Masalah buli yang tidak ditangani boleh melahirkan pelajar trauma, tercicir sekolah dan akhirnya merugikan negara. Sebaliknya, dengan sokongan profesional, pelajar berpotensi pulih, berjaya dan menyumbang kepada pembangunan negara.
Kewujudan kaunselor profesional luar di sekolah adalah keperluan mendesak. Ia membuktikan keseriusan kerajaan menangani buli, menjaga kebajikan pelajar serta mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan kondusif.
Guru wajar fokus mendidik, manakala peranan kaunseling diserahkan kepada pakar. Inilah reformasi penting untuk memastikan sekolah benar-benar menjadi medan melahirkan insan seimbang dan berdaya tahan. – UTUSAN
MUHAMMAD QAYYUM FAHIM FAIZAL
SMK Dato’ Sulaiman
Parit Sulong










