RANG Undang-undang (RUU) Antibuli 2025 yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada 3 Disember 2025 lalu memperkenalkan definisi rasmi buli, iaitu merangkumi fizikal, verbal, sosial, psikologi, serta dalam talian (buli siber).
Buli siber seperti diterangkan dalam draf undang-undang adalah sebarang tindakan buli yang berlaku melalui media elektronik atau digital (seperti media sosial, mesej teks) termasuk dalam kategori yang dilindungi.
Menerusi pelaksanaan RUU ini, kanak-kanak atau remaja yang menjadi mangsa buli siber di sekolah, asrama atau institusi pendidikan lain kini boleh membuat aduan.
Sebelum ini terma “buli” ditafsir secara subjektif, bergantung kepada pihak sekolah atau guru, kini melalui RUU definisi undang-undang yang lebih jelas diberikan, sekaligus mengurangkan ruang kelompongan interpretasi. Ini amat penting bagi kes buli siber yang kadang-kadang disanggah sebagai ‘gurauan’ atau ‘main-main’.
Melalui RUU ini juga, semua bentuk perbuatan tersebut diletakkan ke dalam kerangka serius iaitu perlakuan buli. Ini dapat meningkatkan kesedaran bahawa sebarang kata-kata, mesej, hantaran dan tindakan secara atas talian boleh memberi impak yang besar. Seterusnya, golongan remaja akan lebih cakna, berhati-hati dan menilai sesuatu situasi sebelum bertindak.
Perlu difahami bahawa media, termasuk media sosial berupaya membentuk norma, sikap dan hubungan sosial. Menerusi RUU Antibuli, ia membuka ruang pendidikan modul literasi media, etika digital, sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Pelajar atau golongan remaja perlu dilatih bukan hanya untuk menggunakan media secara berhemah, tetapi juga memahami kesan dan akibat dari setiap perlakuan komunikasi mereka. Ini sekaligus mampu memupuk sikap bertanggungjawab dalam komunikasi digital.
Ramai mangsa buli siber takut untuk bersuara, mungkin kerana malu, takut dibalas, atau tidak yakin ada pihak yang ambil peduli. Justeru, wujudnya saluran aduan formal sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi dan mekanisme seperti dinyatakan dalam RUU, mangsa tahu mereka mempunyai hak dan jalan untuk mendapatkan bantuan. Maka, persekitaran media sosial dan sekolah yang lebih selamat dapat diwujudkan.
Ini memberi peluang untuk mereka bersuara, melaporkan dan mendapat sokongan, sekaligus melindungi mangsa buli siber dari perlakuan tidak wajar ini. Fokus bukan hanya menghukum, tetapi juga pemulihan seperti kaunseling, kaedah mediasi, sokongan emosi untuk mangsa atau pelaku, serta pendidikan dan kesedaran di sekolah dan komuniti.
RUU Antibuli 2025 merupakan satu usaha serius kerajaan dalam menangani masalah buli siber, melalui kewujudan saluran aduan dan pemulihan, serta menjamin bahawa kes buli bukan sekadar disiplin sekolah, tetapi ia boleh ditangani melalui mekanisme undang-undang.
Sebagai ahli akademik dan pendidik, pelaksanaan RUU ini adalah peluang yang wajar djadikan sebagai satu landasan untuk memupuk dan membina literasi digital serta mewujudkan budaya hormat-menghormati.
Apabila kesedaran dan literasi digital dipertingkatkan, maka kebarangkalian perlakuan buli siber, seperti penghinaan, serangan maya dapat dikurangkan dengan ketara. RUU Antibuli 2025 memberi harapan bukan hanya kepada mangsa, tetapi kepada semua masyarakat, bahawa generasi baharu boleh dididik dengan norma digital yang lebih manusiawi dan beretika. Mencegah adalah jauh lebih efektif daripada menghukum. – UTUSAN
DR. SITI NASARAH ISMAIL
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
UiTM Kampus Rembau, Cawangan Negeri Sembilan










