SEBAGAI mahasiswa, saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada berhubung jaminan tempat di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada pelajar pra-universiti yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0.
Namun, penjelasan tentang maksud “jaminan tempat” perlu diperincikan sejak awal supaya masyarakat tidak tersalah tafsir. Jaminan tempat wajar difahami sebagai jaminan peluang kemasukan ke IPTA, yakni pintu untuk melanjutkan pengajian di universiti awam dibuka dengan lebih jelas dan teratur. Namun, “jaminan kursus pilihan” ialah perkara yang berbeza.
Penempatan ke program tertentu masih bergantung pada asas merit, kekosongan tempat dan keperluan program yang berbeza antara universiti serta bidang.
Membezakan dua perkara ini bukan soal bermain istilah, tetapi langkah penting untuk memastikan pelajar dan keluarga memahami realiti pelaksanaan, lalu membuat pilihan yang lebih realistik dan selaras dengan minat, kekuatan akademik, serta hala tuju kerjaya masing-masing.
Saya juga mengakui wujud risiko yang perlu ditangani secara serius, khususnya tekanan akademik melampau dan budaya “perlumbaan gred” yang boleh menjejaskan kesejahteraan pelajar.
Apabila pencapaian tertentu dijadikan syarat utama kepada peluang besar, sebahagian pelajar mungkin terdorong untuk belajar dalam keadaan tertekan, mengejar angka semata-mata dan mengabaikan perkembangan diri yang lebih seimbang.
Justeru, pelaksanaan dasar ini wajar disertakan mekanisme mitigasi yang jelas, termasuk memperkukuh sokongan psikososial di peringkat sekolah dan pra-universiti, menggalakkan penilaian yang menekankan pembelajaran bermakna, serta melaksanakan pemantauan kesan dasar secara berkala.
Pendekatan ini penting agar dasar kekal berpaksikan bukti dan kesejahteraan, selari dengan semangat Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang menuntut dasar pendidikan digerakkan secara berimpak, realistik dan berterusan.
Bagi pelajar yang berada hampir pada paras PNGK 4.0, saya berpandangan sistem juga wajar menyediakan sokongan dan laluan alternatif yang munasabah agar peluang ke IPTA kekal adil dan inklusif.
Antara pendekatan yang boleh diperkukuh ialah laluan merit yang lebih komprehensif, program pengukuhan atau asasi lanjutan bagi bidang tertentu, serta penilaian tambahan yang menilai potensi, kesediaan akademik dan kesungguhan pelajar secara lebih menyeluruh.
Dengan cara ini, dasar tidak dilihat hanya memihak kepada kelompok yang mencapai garis penentu semata-mata, sebaliknya turut memberi ruang kepada pelajar yang konsisten berusaha tetapi berbeza dari segi latar dan cabaran.
Pada masa yang sama, usaha pelajar yang benar-benar cemerlang tetap dihargai melalui prinsip merit yang telus dan berintegriti.
Dari perspektif mahasiswa, pengukuran merit perlu bergerak ke arah kerangka penilaian pelbagai dimensi.
Selain pencapaian akademik, indikator seperti kepimpinan, inovasi, keusahawanan dan sumbangan komuniti wajar diinstitusikan secara berperingkat bagi menyokong hasrat RPTM 2026-2035 untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi, adaptif dan berimpak sosial.
Sebagai penambahbaikan, saya mencadangkan untuk dibangunkan satu kerangka penilaian kemasukan bersepadu yang menggabungkan pencapaian akademik dan bukan akademik secara seimbang.
Langkah ini akan memperkukuh keadilan, mengurangkan tekanan melampau dan memastikan inisiatif jaminan tempat ini benar-benar menyokong matlamat RPTM 2026-2035 dalam melahirkan graduan holistik dan berdaya tahan. – UTUSAN
MUHAMMAD HAKIMIE ABDUL RHAMAN
Exco Penerangan Majlis Perwakilan Pelajar UPM sesi 2025/2026, pelajar Bacelor Sains Mikrobiologi dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM










