TEKANAN kos sara hidup masih menjadi kebimbangan utama rakyat walaupun pelbagai bantuan dan inisiatif kerajaan diperkenalkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bantuan tunai, jualan harga murah dan subsidi bersasar sememangnya memberi kelegaan sementara, namun persoalan yang semakin kerap dibangkitkan hari ini ialah sampai bila bantuan perlu menjadi sandaran utama untuk menghadapi kos kehidupan yang terus meningkat?
Dalam konteks inilah pendekatan pentadbiran berasaskan kerangka H.E.M.A.T menjadi relevan, khususnya melalui komponen E yang merujuk kepada Empati rakyat.
Pendekatan ini menekankan dasar kerajaan perlu dirangka dengan memahami denyut nadi kehidupan rakyat, bukan sekadar berdasarkan angka statistik atau laporan ekonomi semata-mata.
Hakikatnya, majoriti rakyat tidak mahu bergantung kepada bantuan dalam jangka panjang. Mereka mahukan peluang pekerjaan lebih baik, pendapatan stabil dan kehidupan lebih terjamin hasil usaha sendiri.
Oleh itu, empati rakyat bukan sekadar memahami kesusahan semasa tetapi memastikan dasar yang dirangka membantu rakyat keluar daripada tekanan kos hidup secara berperingkat.
Empati rakyat bermaksud kerajaan memahami bagaimana keluarga menyesuaikan perbelanjaan bulanan, bagaimana pekerja menanggung kos perjalanan harian serta bagaimana golongan muda cuba membina kehidupan dalam keadaan kos hidup yang semakin mencabar.
Dasar yang baik perlu menyentuh kehidupan sebenar rakyat dan memberi kelegaan jangka panjang berbanding kelegaan sementara.
Pelaksanaan program seperti Jualan Rahmah membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah dan memberi sedikit ruang kepada isi rumah mengurus perbelanjaan bulanan. Begitu juga bantuan tunai yang membolehkan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menampung kos makanan, bil utiliti dan perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Namun, bantuan sebegini tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang semata-mata. Realitinya, ramai rakyat masih berdepan isu pendapatan yang tidak berkembang seiring peningkatan kos kehidupan, khususnya di kawasan bandar. Kenaikan kos sewa rumah, harga makanan di luar dan kos pengangkutan menunjukkan isu sebenar bukan sekadar harga barang tetapi kemampuan pendapatan menampung kehidupan seharian.
Oleh itu, empati perlu dipadankan dengan usaha memperkukuh struktur ekonomi negara. Tumpuan perlu diberikan kepada penciptaan pekerjaan berkualiti, pembangunan sektor bernilai tinggi serta pengukuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi penyumbang utama peluang pekerjaan di negara ini.
Tanpa peningkatan peluang pekerjaan dan pendapatan, bantuan akan terus menjadi keperluan berulang.
Pada masa sama, isu ketidakpadanan kemahiran tenaga kerja juga perlu diberi perhatian. Ramai graduan sukar mendapatkan pekerjaan setimpal dengan kelayakan manakala industri pula menghadapi kekurangan tenaga mahir dalam bidang teknikal dan teknologi. Justeru, program latihan semula dan peningkatan kemahiran perlu diperkukuhkan agar tenaga kerja tempatan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran pekerjaan.
Kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui angka pertumbuhan ekonomi atau pelaburan asing semata-mata, tetapi melalui kesejahteraan rakyat yang mampu menjalani kehidupan dengan lebih stabil dan bermaruah.
Dasar berasaskan kerangka H.E.M.A.T, khususnya nilai Empati rakyat, perlu menjadi panduan dalam merangka pembangunan negara supaya rakyat bukan sekadar dibantu ketika sukar tetapi diberi peluang membina masa depan yang lebih baik melalui usaha sendiri. –UTUSAN
NORLAILA ABDULLAH CHIK
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Kerajaan,
Universiti Utara Malaysia (UUM)










