Industri logistik terlalu bergantung kepada jalan raya

Industri logistik terlalu bergantung kepada jalan raya

LORI menjadi tulang belakang utama pergerakan kargo, manakala rel dan pengangkutan laut kekal sebagai pilihan sampingan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAKIKATNYA, logistik Malaysia masih terlalu bergantung kepada jalan raya. Lori menjadi tulang belakang utama pergerakan kargo, manakala rel dan pengangkutan laut kekal sebagai pilihan sampingan. Keadaan ini bukan sahaja tidak cekap, malah berisiko tinggi kepada ekonomi dan kelestarian negara.

Masalah utama bukan ketiadaan infrastruktur. Malaysia mempunyai rangkaian rel merentasi semenanjung serta pelabuhan utama yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Namun aset ini beroperasi secara terpisah, tanpa integrasi yang kukuh antara satu sama lain.

Rel, pelabuhan dan pusat pengedaran tidak dirancang sebagai sistem logistik yang saling melengkapi. Setiap mod bergerak mengikut logik sendiri, bukan sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan nasional. Akibatnya, lori terus menjadi pilihan paling mudah walaupun kosnya tinggi dan kesannya besar kepada alam sekitar.

Dominasi jalan raya ini membawa kesan langsung kepada kesesakan kronik. Laluan utama ke kawasan industri dan pelabuhan sering sesak, memperlahankan pergerakan barang dan meningkatkan kos penghantaran. Masa penghantaran menjadi tidak menentu, menjejaskan kebolehpercayaan rantaian bekalan.

Apabila sistem logistik gagal menjamin kepastian masa, kos perniagaan meningkat dan pelabur mula menilai semula kecekapan negara sebagai lokasi operasi.

Lebih membimbangkan, kebergantungan berlebihan pada lori menyumbang kepada pelepasan karbon yang tinggi. Pengangkutan jalan raya adalah antara penyumbang utama emisi sektor logistik.

Projek rel kerap dilihat sebagai isu politik atau projek mega semata-mata bukan sebagai komponen kritikal sistem logistik negara. Perbincangan awam lebih tertumpu kepada kos pembinaan dan kontroversi, bukan kepada fungsi strategiknya.

Apabila rel gagal difahami sebagai infrastruktur logistik, perancangannya juga menjadi tidak selari dengan keperluan industri. Laluan rel tidak disambungkan secara efektif ke pelabuhan dan zon perindustrian menyebabkan penggunaannya terhad dan tidak menarik kepada pemain logistik.

Sistem logistik yang bergantung kepada satu mod pengangkutan adalah rapuh. Gangguan bekalan bahan api, bencana alam atau penutupan laluan utama boleh melumpuhkan pergerakan barang dalam masa singkat.

Negara yang berdaya tahan membina kepelbagaian mod pengangkutan. Rel sesuai untuk jarak jauh dan muatan besar. Pengangkutan laut domestik berkesan untuk jarak sederhana. Lori pula berfungsi sebagai penghubung akhir, bukan pemain dominan sepanjang rantaian.

Malaysia sebenarnya mempunyai semua prasyarat untuk membina sistem logistik bersepadu. Apa yang kurang ialah penyelarasan dasar dan kejelasan hala tuju. Logistik masih diurus secara terpisah mengikut sektor dan kementerian tanpa kerangka nasional yang menyatukan semua mod.

Integrasi mod pengangkutan memerlukan keberanian membuat perubahan struktur. Ia menuntut perancangan merentas agensi, pelaburan yang disasarkan dan perubahan cara berfikir daripada berpusat pada jalan kepada sistem. 

Selagi jalan raya dianggap sebagai jawapan kepada semua masalah pengangkutan, selagi itulah sistem logistik negara kekal mahal dan tidak cekap. 

Rel dan laut bukan simbol prestij atau polemik politik tetapi alat ekonomi yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Persoalannya kini bukan sama ada Malaysia mempunyai pilihan tetapi sama ada negara ini bersedia meninggalkan kebergantungan lama dan membina sistem logistik yang benar-benar seimbang dan berdaya tahan. –UTUSAN

 

DR. IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT 

Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans), 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Puncak Alam

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN