DALAM masyarakat Melayu, majlis perkahwinan bukan sekadar penyatuan dua insan tetapi juga sebuah peristiwa sosial yang sarat dengan nilai adab, budi dan kasih sayang.
Pemberian cenderamata kepada tetamu, yang sering diamalkan, wajar difahami sebagai tanda penghargaan dan kesyukuran, bukan lambang kemewahan atau medan menunjuk kemampuan.
Sebaliknya, pemberian itu mencerminkan budaya Melayu yang berteraskan Islam iaitu memuliakan tetamu dan mengeratkan silaturahim.
Islam menggalakkan amalan saling memberi hadiah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling berkasih sayang.”
Namun dalam masa sama, Islam menegaskan larangan pembaziran dan sikap bermegah-megah.
Allah SWT mengingatkan dalam Surah al-Isra’, ayat 27 bahawa pembazir itu adalah saudara syaitan. Justeru, keseimbangan perlu dijaga dengan memberi dengan ikhlas, mengikut kemampuan, tanpa paksaan dan tanpa berhutang demi memenuhi persepsi masyarakat.
Budaya Melayu yang sebenar tidak pernah mengukur kemuliaan majlis melalui mahalnya hadiah atau gahnya perhiasan.
Orang tua-tua dahulu menyambut tetamu dengan hidangan sederhana, senyuman dan layanan yang tulus. Tetamu pulang dengan hati yang lapang kerana dihormati, bukan kerana membawa pulang barangan bernilai tinggi. Inilah jiwa budaya kita yang sederhana, beradab dan berteraskan iman.
Dalam konteks hari ini, cenderamata boleh berupa sesuatu yang bermanfaat dan mendidik seperti makanan ringkas, hasil tangan sendiri, buku doa, tasbih atau sekadar kad ucapan yang disertai doa keberkatan.
Nilai hadiah bukan terletak pada harganya tetapi pada niat dan makna di sebaliknya iaitu memberi kerana Allah, bukan kerana pandangan manusia.
Lebih penting, masyarakat perlu memahami agar majlis perkahwinan tidak menjadi sumber tekanan sosial. Islam tidak pernah mensyaratkan kemewahan sebagai tanda keberkatan. Keberkatan lahir daripada kesederhanaan, doa dan ketaatan kepada syariat.
Memuliakan tetamu adalah tanda keimanan, namun Islam juga tidak mengajar umatnya membebankan diri.
Maka, marilah kita mengembalikan majlis perkahwinan kepada landasan asalnya iaitu adat Melayu yang berakar pada Islam, meraikan dengan sederhana, memberi dengan ikhlas dan menjauhi pembaziran. Inilah warisan nilai yang wajar dipertahankan demi membina masyarakat yang beradab, beriman dan sejahtera. –UTUSAN
HASNAH ABDUL RAHMAN
Batu Pahat, Johor










