ISU lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kekal menjadi perbahasan sosial dan perundangan yang sensitif di Malaysia.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, isu ini tidak lagi tertumpu semata-mata kepada hak asasi manusia atau kebebasan individu, sebaliknya mula meresap secara halus melalui gaya hidup, hiburan dan pelancongan.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan tentang ketahanan nilai agama, keberkesanan undang-undang sedia ada dan keupayaan negara mengekalkan keharmonian sosial dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Malaysia mempunyai identiti perundangan yang unik, di mana sistem undang-undang sivil beroperasi seiring dengan undang-undang syariah bagi orang Islam. Islam sebagai agama Persekutuan bukan sekadar simbolik tetapi menjadi asas pembentukan norma moral, dasar awam dan jati diri nasional.
Dalam kerangka syariah, perlakuan seksual sejenis dan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan fitrah manusia adalah dilarang dan dikategorikan sebagai kesalahan jenayah di kebanyakan negeri. Larangan ini berpandukan prinsip maqasid al-shariah yang memelihara agama, keturunan, akal dan maruah insan.
Cabaran semasa menunjukkan bahawa agenda LGBT kini bergerak melalui pendekatan normalisasi budaya yang lebih halus dan tidak konfrontatif. Globalisasi dan ledakan teknologi maklumat mempercepatkan penyebaran nilai liberal Barat yang menekankan kebebasan seksual tanpa batas agama dan budaya.
Media sosial dan industri kreatif menjadi medium utama membentuk persepsi awam, khususnya dalam kalangan generasi muda, bahawa identiti seksual adalah relatif dan wajar diraikan secara terbuka.
Fenomena ini dapat dilihat melalui penganjuran program Glamping With Pride pada 17 hingga 18 Januari lalu di Hulu Langat. Program ini, walaupun berkonsepkan pelancongan alam semula jadi, namun diselitkan elemen kempen Pride melalui simbol pelangi, bahasa pemasaran inklusif dan aktiviti bertema identiti seksual. Hal ini bukan sekadar isu pelancongan tetapi menimbulkan implikasi dari segi undang-undang dan syariah kerana ia menguji batas kebebasan ekspresi dan perniagaan dalam ruang awam.
Walaupun undang-undang mengiktiraf kebebasan perniagaan, namun istilah kebebasan itu tidak mutlak. Prinsip undang-undang awam menekankan aktiviti komersial mesti selaras dengan moral awam, ketenteraman dan sensitiviti masyarakat setempat.
Dari perspektif syariah pula, konsep hisbah dan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar meletakkan kewajipan mencegah penyebaran nilai yang bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh itu, penglibatan perniagaan dalam kempen Pride menyentuh soal akidah, moral dan dasar sosial negara.
Lebih membimbangkan, pendekatan normalisasi ini bersifat halus, menjadikannya sukar dikesan. Golongan muda menjadi sasaran utama kerana tertarik kepada elemen estetik, eksklusiviti dan pengaruh media sosial. Tanpa wacana kritikal yang seimbang, keadaan ini berpotensi menghakis kefahaman terhadap batas syariah dan peranan undang-undang dalam mengawal tingkah laku awam.
Dari perspektif perundangan, isu ini menuntut penilaian semula terhadap keberkesanan mekanisme kawal selia sedia ada, termasuk undang-undang pelesenan perniagaan, garis panduan promosi awam dan perlindungan sensitiviti agama.
Kegagalan bertindak secara proaktif boleh membuka ruang kepada konflik antara kebebasan individu dan kepentingan majoriti. Pendekatan terlalu keras tanpa asas pendidikan dan pencegahan pula boleh menimbulkan salah faham terhadap peranan undang-undang syariah.
Sehubungan itu, pendekatan terhadap isu LGBT, termasuk Glamping With Pride, mesti ditangani secara menyeluruh dan berstrategi. Kerajaan perlu memperkukuh dasar kawal selia, meningkatkan pendidikan berasaskan nilai agama dan memastikan sektor pelancongan serta perniagaan tidak dijadikan medium normalisasi ideologi yang bercanggah dengan identiti negara.
Masyarakat pula tidak boleh bersikap pasif. Kesedaran awam, peranan keluarga dan wacana ilmiah yang berfakta perlu diperkasakan agar keharmonian sosial terus terpelihara.
Isu LGBT di Malaysia tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kerangka undang-undang dan syariah yang menjadi tunjang negara. Tanpa ketegasan dan kebijaksanaan, normalisasi secara berperingkat melalui gaya hidup moden berisiko menghakis identiti nasional. Tanggungjawab ini menuntut kesepaduan tindakan antara kerajaan, institusi agama dan masyarakat demi memastikan kedaulatan nilai dan keharmonian negara terus terpelihara.
DR. MOHAMMAD RAMZI ZAKARIA
Pensyarah,
Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS)









