Ejaan Ramadan bukan Ramadhan

Ejaan Ramadan bukan Ramadhan

EJAAN Ramadan bukan sengaja ditetapkan sebegitu tetapi ketetapan dalam sistem bahasa Melayu standard dengan mengambil kira hukum ejaan dan tatabahasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENURUT ejaan bahasa Melayu yang berasaskan sistem yang dibakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ejaan yang betul ialah Ramadan bukan Ramadhan.

Bentuk ini selaras dengan prinsip penyerapan kata pinjaman daripada bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu yang tidak mengekalkan huruf ‘dh’ bagi bunyi huruf Arab.

Dari sudut bahasa sumber, Ramadan berasal daripada perkataan Arab (Ramadan). Perkataan ini berakar daripada kata dasar ramada yang membawa maksud panas yang membakar atau terik yang menyengat.

Apabila perkataan Arab diserap ke dalam bahasa Melayu, proses penyesuaian ejaan berlaku agar selaras dengan sistem fonologi Melayu. Bahasa Melayu tidak mempunyai gabungan konsonan ‘dh’ sebagai lambang bunyi tersendiri. Justeru, huruf dalam bahasa Arab disesuaikan menjadi ‘d’, bukan ‘dh’.

Ini dapat dilihat melalui beberapa contoh lain perkataan Arab seperti fardhu dieja sebagai fardu, wudhu’ menjadi wuduk dan redha menjadi reda. Begitu juga hadhrat disesuaikan menjadi hadrat. Semua ini memperlihatkan prinsip konsisten dalam penyerapan kata Arab ke dalam bahasa Melayu.

Meskipun ejaan Ramadhan sering ditemui dalam karya kreatif seperti puisi, cerpen atau novel sebagai suatu bentuk estetika atau pengaruh transliterasi langsung daripada bahasa Arab, namun dalam konteks penulisan rasmi dan standard, ejaan Ramadan wajar dan wajib digunakan.

Isu ini mungkin kelihatan enteng atau remeh, namun hakikatnya ejaan mencerminkan tahap penguasaan dan kepekaan bahasa seseorang. Kesalahan yang dibiarkan berulang kali akan akhirnya dianggap betul oleh masyarakat sekali gus mengaburkan standard bahasa yang telah dibina sekian lama.

Kepentingan ejaan yang standard bukan sekadar soal teknikal semata-mata tetapi disiplin ilmu dan maruah bahasa.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu dipelihara ketepatannya agar terus berwibawa dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran, pendidikan dan penerbitan.

Ejaan Ramadan bukan sengaja ditetapkan sebegitu tetapi ketetapan dalam sistem bahasa Melayu standard dengan mengambil kira hukum ejaan dan tatabahasa.

Dengan menggunakan ejaan yang betul sesungguhnya mencerminkan penghormatan kita terhadap bahasa kebangsaan serta kecaknaan dalam memelihara disiplin ilmu berbahasa. – UTUSAN

RIDZUAN KAMIS
Guru Besar, Sekolah Kebangsaan
Padang Besar Selatan, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN