Jualan santan turun 50 peratus awal Ramadan

Jualan santan turun 50 peratus awal Ramadan

Bekalan santan masih stabil ketika ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Jualan santan di negeri ini berkurangan pada awal Ramadan apabila pengguna lebih berhati-hati menguruskan perbelanjaan harian mereka susulan peningkatan kos sara hidup.

Seorang peniaga santan di Pasar Awam Taman Tun Sardon, Abdul Rahim Omar berkata, jualan santan kali ini menunjukkan penurunan ketara berbanding 2025 walaupun bekalan kekal stabil.

Katanya, sebelum ini, jualan santan boleh mencecah kira-kira 300 kilogram (kg) sehari terutama ketika musim perayaan, namun, kini jumlah jualan itu menurun kepada sekitar 150kg hingga 200kg sehari.

“Keadaan ekonomi semasa menyebabkan ramai pengguna memilih untuk berjimat cermat dan hanya membeli barangan keperluan asas, sekali gus menjejaskan permintaan santan yang lazimnya digunakan dalam pelbagai juadah tradisional.

“Permintaan tahun ini agak kurang. Hendak jual 200kg pun kadang-kadang susah. Ramai juga pelanggan beritahu bahawa mereka perlu berjimat sebab banyak komitmen keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Abdul Rahim berkata, harga santan masih stabil walaupun berada pada paras agak tinggi berbanding beberapa tahun lalu, dengan harga kelapa mentah dianggarkan sekitar RM6 sekilogram manakala santan siap diproses pula dijual antara

RM15 hingga RM18 sekilogram bergantung kepada pembelian runcit atau secara pukal oleh peniaga makanan.

“Harga yang berbeza itu mengambil kira kos tambahan seperti plastik pembungkusan, proses memerah santan serta kos operasi perniagaan harian,” katanya.

Abdul Rahim memberitahu, bekalan kelapa dan santan pada Ramadan kali ini baik dan tiada gangguan dilaporkan.

“Permintaan santan mungkin meningkat sedikit menjelang Aidilfitri nanti, namun kemungkinan jumlah jualan masih rendah berbanding tahun-tahun sebelum ini. Ini berikutan trend pengguna kini lebih mengutamakan perbelanjaan berhemah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×