DI Malaysia, di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan PenandaanHalal) 2019, hanya pihak yang memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia daripada pihak berautoriti, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dibenarkan menggunakan apa-apa perihal, pernyataan, logo atau representasi yang membawa maksud halal.
Ini termasuk penggunaan istilah seperti ‘iftar’, ‘ditanggung halal’, ‘bufet Ramadan’ atau apa-apa ungkapan yang secara langsung mengaitkan makanan tersebut dengan ibadah berbuka puasa.
Mana-mana pihak yang mengiklankan perkataan halal tanpa sijil halal yang sah boleh disiasat dan dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730).
Jika disabitkan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan denda sehingga RM5 juta bagi syarikat, atau denda dan penjara bagi individu, bergantung kepada keseriusan kes. Peruntukan ini jelas bertujuan melindungi pengguna daripada kekeliruan dan penipuan berkaitan status halal makanan.
Industri halal Malaysia bukan sahaja penting untuk memenuhi keperluan umat Islam di dalam negara tetapi juga untuk menjaga reputasi Malaysia sebagai peneraju global dalam pasaran makanan halal.
Halal bukan sahaja satu keperluan agama tetapi juga satu jenama yang dipandang tinggi di peringkat antarabangsa, memberi Malaysia kelebihan daya saing dalam sektor makanan global.
Namun, sebarang penyalahgunaan label halal akan merosakkan integriti industri ini. Isu penggunaan logo halal palsu atau mengelirukan dalam pensijilan halal boleh memberi impak buruk bukan sahaja kepada pengguna tetapi juga kepada ekonomi negara.
Ini kerana industri halal adalah salah satu sektor yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara melalui eksport produk makanan halal ke luar negara, terutamanya ke negara-negara dengan populasi Muslim yang besar.
Jika kepercayaan terhadap sistem pensijilan halal negara tergugat, ia akan memberi kesan buruk kepada eksport, sekali gus merugikan ekonomi negara.
Sebagai contoh, jika sebuah restoran yang tidak mendapat pensijilan halal cuba menarik pelanggan dengan menggunakan istilah halal, mereka bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga merosakkan kepercayaan umat Islam terhadap industri halal negara.
Oleh itu, penguatkuasaan yang ketat terhadap mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan logo halal adalah untuk memastikan kepercayaan pengguna tidak terhakis dan integriti industri halal Malaysia terpelihara.
Pengusaha perlu diingatkan menjaga integriti dalam penggunaan istilah halal adalah sebahagian daripada tanggungjawab moral dan undang-undang yang perlu dipatuhi.
Dalam menyambut bulan yang mulia ini, kita bukan sahaja perlu memastikan ibadah puasa dijalankan dengan sempurna tetapi juga setiap aspek kehidupan termasuk pemilihan makanan perlu menepati prinsip halal yang ditetapkan syariat.
Sebagai pengguna, kita berperanan penting untuk memastikan makanan yang dipilih adalah halal dan berkualiti serta mengelakkan pembaziran yang hanya merosakkan keberkatan puasa.
Pengusaha pula mempunyai tanggungjawab besar untuk menyediakan hidangan yang memenuhi piawaian halal yang sah, agar setiap hidangan memberi manfaat kepada umat Islam tanpa sebarang keraguan.
Dengan mengambil langkah-langkah ini, kita dapat memastikan Ramadan kali ini lebih bermakna, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi juga mempertingkatkan ketakwaan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab. –UTUSAN
MUHAMMAD REZA AMIN REZA ADNAN
Pensyarah,
Fakulti Profesional Kesihatan dan Sains Hayat
Management and Science University (MSU)










