WANG pungutan zakat hendaklah disalurkan kepada penerima yang berhak menerima agihan tersebut sebagaimana dinyatakan dalam ayat 60, surah Al -Taubat.
Institusi zakat di setiap negeri merupakan entiti yang menaungi kepentingan sosioekonomi umat Islam malah ia amanah ummah yang harus dijaga dengan baik.
Tindakan pihak institusi zakat yang menyalahgunakan itu dianggap mengkhianati kepercayaan umah yang tidak sepatutnya dilakukan.
Mengulas dakwaan isu kontroversi dikaitkan dengan institusi zakat Pulau Pinang walaupun masih dalam proses siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun atas rasa kepertanggungjawaban pihak sewajibnya patut meletakkan jawatan.
Sebelum ini, terdapat dakwaan pembelian lot tanah di Mukim 3, Seberang Perai Selatan bernilai RM9.86 juta yang dikatakan menggunakan dana zakat oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mencetuskan persoalan apabila terletak hanya kurang 300 meter dari kandang babi.
Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Penyelaras Pembela Tanah Air (Peta), Pulau Pinang, Zulkifli Ibrahim berkata, pembayar zakat di negeri ini berhak mendapat penjelasan terperinci daripada Yang Dipertua MAINPP, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid.
Pembelian tanah dengan duit dana zakat jelas melanggar keputusan Majlis Fatwa Negeri selain bercanggah dengan hukum syarak kerana alasan untuk membantu melangsaikan baki pinjaman hutang perumahan asnaf.
Sebenarnya ia tidak termasuk di dalam terma asnaf yang berhak mendapat bantuan kewangan zakat.
Bukan itu sahaja bahkan pelajar yang lulus memohon dermasiswa zakat mengikut semester pengajian menanggung kesan apabila sehingga hari ini dilaporkan masih belum menerima wang dermasiswa tersebut.
Oleh itu, langkah sewajarnya perlu diambil memandangkan ia mencemarkan nama baik MAINPP dan Islam. Dalam masa sama institusi zakat perlu dibersihkan oleh campur tangan mereka yang mempunyai agenda sendiri. Hanya dengan cara ini dapat memulihkan kembali keyakinan pembayar zakat. –UTUSAN
PEMERHATI BEBAS POLITIK
Pulau Pinang










