PENGUMUMAN kerajaan untuk mengecualikan yuran pengajian bagi pelajar orang kurang upaya (OKU) di seluruh universiti awam, politeknik dan kolej komuniti wajar disambut dengan tangan terbuka.
Bagi keluarga yang mempunyai anak istimewa, inisiatif ini sememangnya memberi sedikit ‘nafas’ lega. Kos membesarkan dan mendidik anak OKU jauh lebih tinggi berbanding anak tipikal.
Secara realitinya, kos ini sering kali berganda dengan keperluan terapi berkala, rawatan perubatan susulan, alat bantuan khas seperti kerusi roda bermotor atau alat pendengaran, serta kos pengangkutan yang spesifik.
Justeru, pengecualian yuran ini harus dilihat sebagai langkah pengurangan beban, bukannya penyelesaian masalah kemiskinan pelajar OKU sepenuhnya.
Ia memberi isyarat bahawa pelajar OKU diiktiraf sebagai sebahagian dalam ekosistem modal insan negara, namun sokongan kewangan lain masih amat diperlukan.
Walau bagaimanapun, kita perlu bersikap jujur dan kritis. Adakah pendidikan percuma semata-mata sudah cukup menjamin kejayaan pelajar OKU?
Ramai pelajar OKU tercicir di pertengahan jalan bukan kerana tidak mampu membayar yuran, tetapi kerana ‘lemas’ dalam persekitaran yang tidak inklusif.
Bahan pengajaran yang tidak mesra akses, fasiliti fizikal yang menyukarkan mobiliti, kurangnya empati dan penerimaan warga kampus serta kemahiran pedagogi inklusif dalam kalangan pensyarah adalah tembok penghalang sebenar.
Tanpa persekitaran akademik yang kondusif dan sistem sokongan psikososial yang konsisten dengan pengukuhan pusat sokongan OKU di institusi, dasar pendidikan percuma ini berisiko menjadi sekadar kosmetik, cantik di atas kertas, tetapi gagal dalam pelaksanaan.
Satu lagi kebimbangan kritikal yang wajar diberi perhatian serius ialah nasib Bantuan Kewangan OKU (BKOKU). Timbul kegusaran dalam komuniti OKU bahawa apabila yuran telah dikecualikan, bantuan sara hidup ini mungkin disemak semula, dikurangkan, atau dianggap tidak lagi relevan.
BKOKU selama ini berfungsi sebagai talian hayat untuk menampung kos sara hidup, makan minum, penginapan dan penyelenggaraan peralatan khas pelajar.
Bagi pelajar daripada keluarga B40 dan M40, BKOKU adalah penentu sama ada mereka dapat meneruskan kehidupan di kampus atau tidak.
Pengecualian yuran tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk mengecilkan bantuan ini. Sebaliknya, BKOKU perlu diperkasakan selaras dengan kenaikan kos sara hidup semasa.
Graduan OKU hari ini masih berdepan stigma, diskriminasi dan ketidakpercayaan di pasaran kerja.
Tanpa sistem sokongan berstruktur seperti perkhidmatan job coaching, adaptasi tempat kerja dan insentif penggajian yang lebih agresif kepada majikan, graduan OKU berisiko kembali menjadi golongan yang bergantung harap kepada bantuan keluarga atau negara, biarpun memiliki segulung ijazah. Kita tidak mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademiknya tetapi terpinggir ekonominya.
Tuntasnya, dasar pengecualian yuran ini akan lebih berkesan jika disepadukan dalam satu ekosistem sokongan yang holistik, bermula daripada akses pendidikan, sokongan pembelajaran, bantuan sara hidup, hinggalah kepada transisi ke dunia pekerjaan.
Pengumuman ini adalah permulaan yang sangat baik, namun keadilan pendidikan tidak diukur pada nilai ringgit yuran yang dimansuhkan semata-mata.
Ia diukur pada sejauh mana sistem kita mampu memartabatkan pelajar OKU untuk belajar, berkembang dan akhirnya menyumbang kembali kepada ekonomi negara dengan bermaruah. – UTUSAN
DR. WAN ARNIDAWATI WAN ABDULLAH
Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga
Fakulti Ekologi Manusia
Universiti Putra Malaysia










