KUALA TERENGGANU: Lelaki orang kurang upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental yang dibelasah di Pasar Pagi Jalan Padang Astaka di Kemaman, dekat sini Jumaat lalu dihadiahkan pakej mengerjakan umrah oleh seorang individu.
Hasrat tersebut disampaikan Pengerusi Pertubuhan Idealis Anak Muda, Wan Mahussin Wan Zain kepada isteri mangsa, Faridah Abdul Karim, 44, dalam satu pertemuan di Kuala Ibai di sini, semalam.
Wan Mahussin berkata, nasib yang menimpa keluarga tersebut mendapat perhatian
Pengerusi Yayasan Global Mesra yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Datuk Seri Sultan Pemurah’ atau juga dikenali sebagai Datuk Seri Salim berasal dari Pulau Pinang.
“Mereka tujuh beranak akan menunaikan umrah pada 25 Mei ini. Semoga peluang ini ]memberi manfaat kepada mereka sekeluarga untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT di sebalik ujian yang dihadapi ketika ini,” katanya semalam.
Difahamkan, individu tersebut membelanjakan hampir RM100,000 bagi keseluruhan kos termasuk tiket penerbangan dan pengurusan umrah bagi keluarga tersebut.
Sementara itu, Faridah berkata, dia terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia mengenai nasib suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47 yang dibelasah teruk hingga mengalami kecederaan dalam kejadian itu.
“Tak ada kata-kata yang mampu saya luahkan atas semua pertolongan. Untuk pakej umrah ini, memang saya dan lima anak terlalu gembira, tak sabar kami nak ke Tanah Suci. Doa saya agar suami cepat sembuh agar mampu menikmati hidup yang tenang semula,” katanya.-UTUSAN










