PERTUBUHAN IKRAM Malaysia (IKRAM) menyokong penuh saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) baru-baru ini mengenai kepentingan penglibatan anak muda dalam struktur tadbir urus masjid.
Ia satu langkah pengukuhan terhadap usaha yang telah dimulakan oleh kebanyakan negeri yang mewajibkan penubuhan Biro Belia atau penglibatan Rakan Muda di masjid. Penegasan ini sangat tepat pada masanya bagi memastikan peranan anak muda bukan sekadar angka tetapi penggerak strategik yang berkesan.
Sehubungan itu, IKRAM ingin memberikan penjelasan lanjut mengenai kepentingan peranan golongan anak muda dalam jawatankuasa masjid berdasarkan perkara berikut:
Perkukuh struktur sedia ada
Walaupun kebanyakan negeri mempunyai garis panduan mengenai Biro Belia, namun penegasan daripada pihak menteri memberikan isyarat jelas tentang keperluan pemerkasaan fungsi biro tersebut agar lebih inklusif dan tidak bersifat sekadar ‘pelengkap syarat’ dalam organisasi masjid.
Memupuk kepimpinan
Melalui inisiatif seperti Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA), anak muda diberikan ruang untuk mengasah bakat kepimpinan yang berilmu, sekali gus menjamin kelangsungan kepimpinan institusi agama yang dinamik pada masa hadapan.
Hab belia madani
Penglibatan aktif anak muda akan mengubah persepsi masjid daripada tempat ibadah khusus kepada pusat kecemerlangan ummah yang mesra belia. Ini secara langsung membantu pembangunan sahsiah dan memberikan rasa kepunyaan dalam kalangan generasi muda terhadap institusi masjid.
IKRAM memahami dan menghormati bahawa bidang kuasa pengurusan masjid di negeri-negeri tertakluk di bawah bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) masing-masing.
Justeru, IKRAM berharap agar aspirasi yang disuarakan di peringkat persekutuan ini dapat diselaraskan dengan harmoni di peringkat negeri bagi memastikan agenda pemerkasaan belia masjid mencapai matlamatnya di seluruh negara.
IKRAM sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan pihak berkuasa agama negeri-negeri bagi menyediakan kepakaran dan modul pembangunan belia yang relevan demi memartabatkan institusi masjid sebagai jantung masyarakat. –UTUSAN
MOHD. HAFIZ ABD. HAMID
Setiausaha Agung,
Pertubuhan IKRAM Malaysia










