PERBINCANGAN mengenai peperiksaan berpusat kembali hangat diperdebatkan. Bukan kerana kita terlalu gemar ujian bertulis tetapi kerana kita mahu menambah baik pencapaian pendidikan di sekolah. Kita mencari cara mengekalkan standard pendidikan yang boleh dipercayai sambil memastikan pembelajaran tetap bersifat kemanusiaan.
Dalam beberapa tahun terakhir, dasar pendidikan di negara kita banyak berubah. Ujian Pencapaian Sekolah Rendah UPSR dimansuhkan pada 2021, manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang terjejas akibat pandemik Covid-19 juga dimansuhkan sepenuhnya pada 2022, digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).
Namun, perbincangan mengenai peperiksaan berpusat kembali muncul apabila Kementerian Pendidikan (KPM) mengkaji semula pelaksanaannya, berikutan permintaan ibu bapa. Keputusan akhir akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
Peperiksaan bukan sekadar penilaian tetapi mencerminkan realiti sosial. Ia menjadi rujukan keluarga, universiti, majikan dan pelajar itu sendiri. Apabila standard menurun, masyarakat mencari penanda aras dan peperiksaan tetap menjadi pilihan.
Data antarabangsa menunjukkan cabaran pembelajaran pelajar kita. Menurut Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022, pelajar berumur 15 tahun mencatat skor 409 dalam matematik, 388 dalam membaca dan 416 dalam sains, semua di bawah purata Pertubuhan Kerjasama serta Pembangunan Ekonomi (OECD). Situasi ini mengingatkan pentaksiran yang baik penting untuk perkembangan pelajar.
Di peringkat menengah atas, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetap menjadi penanda aras berprestij. Pada 2023, daripada 373,255 calon, 349,297 pelajar (93.5%) layak memperoleh sijil. Keputusan ini mencerminkan daya tahan pelajar walaupun menghadapi gangguan pembelajaran akibat pandemik.
Namun, angka ini menimbulkan persoalan, di manakah jurang pembelajaran yang lebih dalam dan bagaimana pentaksiran boleh mendedahkannya?
Penyelidikan antarabangsa menegaskan pentaksiran formatif meningkatkan pembelajaran apabila ia memberi maklum balas berterusan kepada guru dan pelajar. PBS di negara kita seiring dengan prinsip ini, membolehkan pembelajaran holistik.
Namun, pelaksanaannya memerlukan masa, piawai jelas dan literasi pentaksiran yang baik. Tanpa itu, PBS boleh mencetuskan ketidakseragaman, tekanan guru dengan kertas kerja dan kelas tambahan.
Justeru, hala tuju penambahbaikan boleh mengambil beberapa langkah. Pertama, jalankan peperiksaan berpusat yang kecil dan direka bentuk dengan jelas untuk mengesan keperluan pembelajaran pelajar.
Kedua, laksanakan PBS yang boleh dipercayai, telus dan diiringi moderasi antara sekolah.
Ketiga, seimbangkan tanggungjawab guru dengan realiti bilik darjah melalui bengkel kemahiran pentaksiran dan pengajaran digital. Terakhir, ukur aspek pembelajaran yang penting, termasuk kemahiran berfikir, komunikasi dan kreativiti, bukan sekadar penghafalan atau kelajuan belajar.
Persoalan sebenar bukanlah sama ada UPSR atau PT3 dikembalikan tetapi bagaimana membina sistem pentaksiran yang diyakini, bermanfaat dan memelihara kesejahteraan pelajar.
Dengan reka bentuk pentaksiran yang tepat, peperiksaan bukan sahaja mengurangkan kebimbangan masyarakat tetapi juga menyokong pembelajaran anak bangsa secara berkesan. -UTUSAN
DR. NOR NAZRINA MOHAMAD NAZRY
Pensyarah Kanan,
Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran,
Fakulti Pendidikan,
Universiti Malaya










