BESUT: Hab Pengumpulan, Pemprosesan, Penyimpanan dan Pengedaran Ikan (HPPPP) Wilayah Timur serta Kilang Air Batu Fasa 3 PNK Besut bernilai RM5.81 juta dijangka dapat mengatasi masalah lambakan ikan dengan lebih sistematik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, projek tersebut dilaksanakan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Program Pre Prihatin yang mana ia mempunyai kelengkapan fasiliti logistik bersepadu dilengkapi bilik sejuk dingin berkapasiti 300 tan metrik serta kemudahan penyejuk Blast Freezer.
Kata beliau, HPPPP tersebut beroperasi sepenuhnya sejak Januari lalu dan menjadi kemudahan buat nelayan.
“Hab ini bertujuan memendekkan rantaian pemasaran hasil laut sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan menstabilkan harga ikan di pasaran.
“HPPPP ini juga bertindak sebagai ‘perisai’ kepada nelayan dan pengguna yang mana dengan kapasiti penyimpanan besar, kita mampu menguruskan lambakan hasil laut dengan lebih sistematik, memastikan kesegaran ikan terjaga dan menjamin bekalan protein negara sentiasa mencukupi terutama pada musim tengkujuh, ” katanya pada Majlis Sentuhan AgroMADANI dan Iftar di LKIM di Kuala Besut, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohamad berkata, kilang air batu fasa 3 PNK Besut yang melibatkan belanja berjumlah RM2.5 juta pula mampu menambah kapasiti pengeluaran sebanyak 50 tan metrik sehari dan menjadikan kapasiti keseluruhan PNK itunkini mencecah 103 tan metrik sehari.
Katanya, peningkatan kapasiti itu boleh menampung permintaan tinggi nelayan di Kuala Besut yang mencecah sehingga 100,000 blok air batu setahun. – UTUSAN











