KETIKA ini adalah musim kemarau di Perlis. Di sana sini, keadaan persekitaran kering kontang.
Sawah padi kering. Kebun getah kering. Semak samun kering. Hutan lalang kering. Rumput-rumput di mana sahaja, pun kering.Kawasan dusun dan kebun buah-buahan, juga semuanya kering. Termasuk juga kawasan di persekitaran kediaman, baik rumah persendirian di kampung-kampung, mahupun rumah kediaman dalam taman perumahan, persekitarannya juga turut kering.
Dalam keadaan sedemikian, semua perlu berwaspada. Ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak mereka supaya tidak bermain api, sama ada mancis api, puntung kayu yang ada bara api atau seumpamanya.
Kalau tersalah perhitungan, mancis api atau bara api yang dibuang diatas rumput kering akan mudah terbakar dan merebak.
Sementara itu, anak-anak muda yang menghisap rokok juga, jangan begitu mudah membuang puting rokok yang masih ada bara api di merata tempat.
Kalau puting-puting rokok yang membara tersebut jatuh di atas rumput kering, ia akan menyala dan nyalaan api yang membesar, menjadikannya sukar dikawal, walaupun oleh para anggota bomba.
Bagi golongan dewasa pun perlu lebih berhati-hati ‘bermain’ api dalam musim kemarau sekarang.
Jerami padi dalam sawah jangan dibakar sewenang-wenang. Jerami padi yang dibakar, apinya akan mudah merebak jika ditiup angin, hingga akhirnya sukar dikawal.
Begitu juga kalau ada hutan lalang di belakang rumah, jangan terlalu ambil jalan mudah untuk membersihkannya, lalu dibakar, dan akhirnya api sukar dikawal.
Memang sejak kebelakangan ini, arang-arang berterbangan masuk ke dalam rumah, malah ke dalam kedai-kedai makan atau premis-premis perniagaan lain.
Kesannya bukan sahaja premis-premis tersebut menjadi kotor malah membahayakan jika arang masuk ke dalam makanan.
Kita juga perlu bersimpati kepada anggota bomba yang terpaksa berkejar ke sana sini untuk memadamkan api bukan sahaja membabitkan bangunan-bangunan terbakar tetapi juga kawasan-kawasan persekitaran turut hangus dijilat api.
Buat masa ini semua perlu bersabar dan berhati-hati menggunakan api sehingga berakhirnya musim kemarau.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










