DI Malaysia, kebakaran kediaman bukanlah kejadian terpencil sebaliknya kerap dilaporkan melibatkan rumah teres, pangsapuri dan kediaman bertingkat, dengan punca yang sering berkait rapat dengan rutin harian seperti memasak, penggunaan peralatan elektrik, pendawaian lama atau kebocoran gas.
Hakikatnya, banyak kebakaran berlaku pada waktu malam atau awal pagi ketika penghuni sedang tidur.
Apabila kebakaran berlaku, ada yang cuba menyelamatkan harta benda, ada yang kembali masuk ke rumah dan ada yang tidak tahu laluan keluar yang selamat.
Corak ini sering diperhatikan dalam operasi menyelamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia apabila penghuni terperangkap akibat kelewatan atau kekeliruan.
Justeru, antara langkah paling asas ialah memastikan rumah dilengkapi dengan peralatan pencegahan kebakaran yang sesuai.
Alat pengesan asap yang berfungsi, khususnya di kawasan bilik tidur dan dapur, mampu memberi amaran awal sebelum keadaan menjadi tidak terkawal.
Amaran beberapa saat lebih awal boleh menentukan sama ada penghuni sempat keluar dengan selamat atau tidak.
Pemadam api mudah alih juga wajar disediakan, terutamanya di dapur dan ruang parkir.
Semua ahli keluarga perlu mengetahui lokasi suis utama elektrik dan injap gas supaya bekalan dapat diputuskan segera apabila berlaku kecemasan.
Peralatan pencegahan sahaja tidak mencukupi tanpa latihan kebakaran di rumah. Latihan ini berfungsi menghubungkan peralatan dengan tindakan sebenar.
Melalui simulasi ringkas, ahli keluarga dapat memahami laluan keluar utama dan alternatif, mengetahui bila perlu menggunakan pemadam api dan bila perlu terus keluar, serta mengenal pasti titik berkumpul yang selamat di luar rumah.
Latihan kebakaran juga membantu mendedahkan kelemahan rumah sendiri.
Laluan keluar yang sempit, pintu berkunci dari dalam, perabot yang menghalang pergerakan atau tangga yang licin sering hanya disedari apabila simulasi dijalankan.
Bagi kediaman bertingkat, latihan ini mengukuhkan kefahaman tentang kepentingan tangga kecemasan dan keperluan mengelakkan penggunaan lif semasa kebakaran.
Dalam kebanyakan rumah, terdapat ahli keluarga yang memerlukan perhatian khusus seperti kanak-kanak kecil, warga emas atau individu berkeperluan khas.
Latihan kebakaran membolehkan peranan diagihkan dengan jelas, memastikan setiap ahli keluarga tahu tanggungjawab masing-masing dan tiada siapa yang tercicir.
Pada masa sama, latihan ini membina ketahanan psikologi. Individu yang pernah melalui simulasi cenderung untuk lebih tenang dan rasional.
Bagi kanak-kanak, latihan membantu mereka memahami kebakaran ialah situasi serius yang perlu ditangani dengan disiplin, bukan ketakutan melampau.
Apabila latihan kebakaran dan penyediaan peralatan pencegahan menjadi amalan biasa di rumah, ia membentuk generasi yang lebih peka, komuniti yang lebih bertanggungjawab dan persekitaran yang saling melindungi.
Rumah yang selamat bukan sekadar melindungi penghuninya tetapi turut menyumbang keselamatan kejiranan dan masyarakat sekeliling.
Dalam kerangka ini, keselamatan bukan soal nasib atau kebetulan, sebaliknya hasil pilihan kolektif yang dibuat secara sedar dan berterusan.
Budaya selamat bermula di rumah, dan dari situlah ia berkembang menjadi kekuatan masyarakat.-UTUSAN
DR. ZITTY SARAH ISMAIL & FAIRUS MUHAMAD DARUS
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi Mara (UiTM)









