Pencemaran plastik ancam ekonomi biru

Pencemaran plastik ancam ekonomi biru

BAGAIMANA kita boleh memperkasa ekonomi biru seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia ke-13 sekiranya lautan kita terus dijadikan pusat pelupusan sampah?
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI merealisasikan hasrat negara untuk menjadi sebagai peneraju ekonomi biru di rantau ini, transformasi mentaliti adalah penting.

Apabila sampah memasuki ekosistem laut, sisa plastik terutamanya akan terurai menjadi mikroplastik akan dimakan oleh hidupan laut. Ironinya, ia kembali ke meja makan kita.

Di sinilah letaknya ancaman kepada ekonomi biru, terutamanya dalam usaha memacu sektor perikanan dan pelancongan marin yang mampan.

Bagaimana kita boleh memperkasa ekonomi biru seperti yang ditekankan dalam Rancangan Malaysia ke-13 sekiranya lautan kita terus dijadikan pusat pelupusan sampah?

Bermula Januari 2026, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui Akta 672 menguatkuasakan denda RM2,000 serta perintah khidmat masyarakat selama 12 jam.

Sebelum ini hanya denda sehingga RM1,000 dikenakan bagi pesalah. Persoalannya adakah pendekatan baharu ini sekadar melangkaui tindakan punitif seperti sebelum ini?

Dengan adanya perintah khidmat masyarakat selama 12 jam seperti yang telah dilaksanakan oleh beberapa negara maju adalah diharapkan dapat memberikan impak psikologi kepada masyarakat.

Ini merupakan satu langkah ke arah mendidik tanggungjawab kolektif dalam masyarakat selain melihat kepada pembaharuan undang-undang ini sebagai pengenalan kepada keadilan restoratif dalam menangani isu pengurusan sisa pepejal negara dan kelestarian alam sekitar.

Namun, peruntukan denda yang tinggi memerlukan penguatkuasaan yang berkesan dan menyeluruh.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu diberi mandat yang lebih luas menerusi reformasi undang-undang kecil termasuklah yang berkait rapat dengan pengurusan sisa bandar dengan perlindungan ekosistem marin.

Misalnya, keperluan untuk integrasi antara perancangan spatial marin dengan sistem pengurusan sisa di darat.

Oleh itu, Januari 2026 harus menjadi titik tolak kepada anjakan paradigma masyarakat dalam menguruskan sampah.

Denda yang tinggi tidak seharusnya dilihat sebagai bebanan tetapi sebagai perisai undang-undang untuk mempertahankan khanazah laut negara. Kita perlu sedar bahawa kebersihan di darat adalah kunci kepada kekayaan di laut.

Transformasi mentaliti sangat penting sekiranya kita ingin melihat Malaysia muncul sebagai kuasa ekonomi biru yang disegani.

Undang-undang bertindak sebagai pemangkin tetapi kesedaran sivik adalah tunjang kepada pembentukkan sikap dan nilai bertanggungjawab dalam diri masyarakat. – UTUSAN

DR. FARAHDILAH GHAZALI
Pensyarah Kanan,
Sekolah Perniagaan dan Ekonomi,
Universiti Putra Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×