KITA sudah masuk tahun 2026. Tahun ini juga wajah kewartawanan Malaysia semakin berubah. Ini kerana bidang ini bukan lagi sekadar tinta di atas kertas atau aksara di skrin tetapi menjadi arena naratif tradisi bersemuka dengan teknologi canggih dan pantas.
Di sebalik prosiding mahkamah berprofil tinggi dan percaturan politik, sedang muncul sebuah revolusi senyap iaitu kecerdasan buatan (AI) yang mula mengambil peranan sebagai pencerita sejarah, menggantikan sebahagian daripada peranan manusia dalam industri media.
AI menawarkan kecekapan luar biasa ekoran mampu bekerja tanpa henti, menjana ribuan artikel dalam masa singkat dan menganalisis data dengan pantas.
Namun, kemudahan ini datang dengan harga. Nilai etika, kreativiti dan roh kewartawanan yang menjadi nadi profesionalisme manusia berisiko terhakis.
Wartawan bukan sekadar penyampai fakta tetapi mereka penghubung komuniti, peka terhadap emosi dan mampu menafsir konteks sosial dengan penuh tanggungjawab.
Beberapa organisasi media di Malaysia sudah mula mengintegrasikan AI, bukan hanya untuk grafik atau automasi laporan tetapi juga dalam penghasilan berita.
Dalam perlumbaan mengejar klik dan trafik, wartawan berisiko menjadi pengawal bayangan algoritma, dengan kesegeraan mengatasi pengalaman. Sekiranya dibiarkan, kewartawanan boleh kehilangan fungsinya sebagai suara nurani masyarakat, berubah menjadi kilang kandungan yang kaku, pantas tetapi tanpa jiwa.
Kerangka peraturan di Malaysia masih ketinggalan berbanding evolusi media digital. Tiada garis panduan jelas untuk menandakan kandungan AI atau melindungi wartawan daripada penggantian automatik.
Tanpa kawal selia, ketidakadilan naratif boleh mengukuh, isu minoriti terpinggir dan kandungan ‘selamat’ dipilih algoritma semata-mata. Ini berisiko membentuk masyarakat yang hanya menerima cerita yang dirangka secara mekanikal, bukan berdasarkan konteks sebenar dan nilai kemanusiaan.
Masa hadapan media bergantung pada pilihan kita hari ini. AI sepatutnya menjadi pemangkin, bukan punca kelumpuhan. Organisasi media perlu mengamalkan ketelusan dengan setiap berita hasil AI mesti dilabel dengan jelas supaya pembaca tahu sumbernya.
Tugas pengarang tetap menjadi penilai akhir, memberikan konteks dan memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap fakta yang disiarkan.
Selain itu, latihan peralihan dan literasi AI penting untuk memastikan wartawan mengawal teknologi, bukan menjadi hamba algoritma.
Literasi media awam juga perlu diperkuat agar masyarakat mampu menilai kandungan AI secara kritis, sekali gus mengekalkan ekosistem maklumat yang sihat dan telus.
Kewartawanan bukan sekadar kecepatan atau kuantiti berita tetapi tentang nilai kemanusiaan, empati dan integriti.
Masa hadapan media Malaysia bukan ditentukan oleh kecanggihan kod dan algoritma tetapi pilihan kita untuk melindungi nilai profesionalisme, kejujuran dan nurani masyarakat.
Jika gagal, bilik berita mungkin canggih dan pantas tetapi kehilangan jiwanya, meninggalkan masyarakat tanpa suara yang sebenar dan meruntuhkan asas kewartawanan sejati.-UTUSAN
HAKIM MAHARI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)










