“Sekali air bah, sekali pantai berubah”. Pepatah ini mengingatkan kita perubahan adalah sesuatu yang pasti dalam kehidupan. Namun, walaupun hakikatnya tidak dapat dielakkan, penerimaan terhadap perubahan bukanlah mudah.
Setiap individu membawa latar belakang, nilai dan keyakinan yang berbeza, manakala kecenderungan untuk berada dalam zon selesa sering menjadi halangan utama dalam menerima sesuatu agenda baharu. Persekitaran organisasi dan pengaruh individu sekeliling juga memainkan peranan penting, menjadikan proses adaptasi terhadap perubahan satu cabaran yang kompleks.
Mengurus perubahan bukan tugas seorang pemimpin semata-mata, walaupun mereka bertanggungjawab menetapkan visi dan misi. Ramai individu sedar kepentingan perubahan, tetapi tidak semua mudah menerima.
Kajian menunjukkan penolakan terhadap perubahan sering berpunca daripada rasa tidak selamat atau bimbang kehilangan pekerjaan, pangkat, kuasa atau berhadapan dengan gaya pengurusan yang berbeza.
Pada masa sama, keselesaan dengan struktur sedia ada membuatkan pekerja lebih sukar menyesuaikan diri dengan suasana baharu yang tidak menentu, sekali gus menimbulkan rasa gusar dan tidak selesa.
Cabaran terhadap perubahan tidak dapat dielakkan, sama ada di organisasi atau negara. Namun, ia boleh diminimumkan dengan pengurusan perubahan yang terancang. Perubahan yang dilaksanakan secara berperingkat dan dalam keadaan organisasi yang stabil cenderung diterima lebih baik berbanding perubahan drastik.
Perubahan mendadak sering menimbulkan penentangan pekerja serta memberi kesan negatif jangka panjang kepada prestasi dan kestabilan organisasi.
Pembelajaran dan pendidikan memainkan peranan penting dalam menjamin kejayaan perubahan. Proses pembelajaran berterusan daripada pengalaman dan kepekaan organisasi membolehkan program perubahan menjadi lebih berkesan.
Individu yang sedar dan sentiasa belajar mampu membentuk pemikiran matang, mengenal pasti masalah dengan lebih tepat dan menyelesaikannya, sekali gus meningkatkan produktiviti serta memberi manfaat bersama.
Selain itu, kejayaan perubahan sangat bergantung kepada kualiti sumber manusia. Tentangan tinggi boleh menghalang proses perubahan jika tidak diurus dengan baik. Oleh itu, pemimpin perlu memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui latihan, pendidikan dan pengembangan potensi individu.
Elemen kemanusiaan seperti kemahiran, persepsi, harapan dan sikap harus diberi perhatian supaya pekerja memahami kepentingan serta kesinambungan perubahan. Dengan pendekatan sistematik, individu menjadi lebih positif, berfikiran terbuka dan bersedia menghadapi transformasi.
Tahap penerimaan perubahan juga berkait rapat dengan keberkesanan pemimpin sebagai ejen perubahan. Perubahan bukan sekadar mengenai sistem dan struktur tetapi juga pengurusan emosi, mental dan rohani manusia. Memahami dimensi kemanusiaan ini membantu mempermudah proses penerimaan dan pelaksanaan perubahan dengan lebih berkesan.
Akhirnya, cabaran dalam mengurus perubahan adalah realiti yang tidak dapat dielakkan kerana melibatkan tingkah laku dan nilai manusia yang telah lama terbentuk.
Kejayaan pengurusan perubahan bukan hanya bergantung kepada perancangan strategik semata-mata tetapi juga kepada kemampuan pemimpin membimbing dan mengurus reaksi individu terhadap ketidakpastian.
Pendekatan perubahan berperingkat, disokong oleh pembelajaran berterusan selain pembangunan modal insan, memastikan perubahan dapat diterima, dilaksanakan secara berkesan dan mampan untuk jangka panjang.-UTUSAN
PROFESOR DR. ZAFIR KHAN MOHAMED MAKHBUL
Dekan, Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB)
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)










