ISU kesesakan lalu lintas dan keselamatan jalan raya di kawasan bandar semakin membimbangkan, terutamanya apabila melibatkan pergerakan lori dan kenderaan berat.
Kehadiran lori berat pada waktu puncak, khususnya ketika waktu persekolahan dan pekerja pejabat menuju ke tempat kerja, bukan sahaja melambatkan aliran trafik malah meningkatkan risiko kemalangan.
Walaupun sudah ada peraturan, namun masih ada pemandu lori yang melanggar undang-undang pada waktu pagi. Mereka mungkin berani kerana tiada penguatkuasaan yang ketat.
Lori dan kenderaan berat mempunyai saiz, sudut pandang, serta jarak membrek yang berbeza berbanding kenderaan biasa. Apabila bercampur dengan motosikal, bas sekolah, dan kereta persendirian pada waktu puncak pagi (sekitar 6.30 hingga 9 pagi) dan petang (4.30 hingga 7.30 petang), risiko kemalangan meningkat, lebih-lebih lagi melibatkan pelajar sekolah dan pejalan kaki. Selain itu, kesesakan yang terhasil turut menjejaskan produktiviti pekerja dan meningkatkan kos logistik akibat kelewatan penghantaran.
Pendekatan larangan bersifat menyeluruh sepanjang hari mungkin membebankan sektor logistik. Oleh itu, pelaksanaan waktu fleksibel adalah lebih praktikal, dengan melarang kemasukan lori berat hanya pada waktu puncak dan membenarkan pergerakan di luar waktu tersebut, termasuk waktu malam atau luar puncak. Langkah ini memastikan kelangsungan rantaian bekalan tanpa mengorbankan keselamatan awam.
Singapura boleh dijadikan contoh berkesan. Negara tersebut mengawal pergerakan kenderaan berat melalui zon larangan, permit khas serta had masa operasi di kawasan tertentu.
Penguatkuasaan berasaskan teknologi seperti kamera dan sistem permit digital, membantu memastikan pematuhan, manakala perancangan bandar yang rapi menyediakan laluan alternatif khusus untuk kenderaan berat. Hasilnya, trafik lebih lancar dan kadar kemalangan dapat dikurangkan dengan ketara.
Larangan lori berat memasuki kawasan bandar pada waktu puncak dengan pendekatan waktu fleksibel merupakan solusi seimbang antara keselamatan awam dan keperluan ekonomi.
Pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar melaksanakannya secara berperingkat, disokong penguatkuasaan berasaskan teknologi serta kempen kesedaran awam.
Dengan perancangan teliti, bandar kita boleh menjadi lebih selamat, lancar, dan mesra kepada semua pengguna jalan raya.-UTUSAN
SYED
Putrajaya









