SESI baharu sekolah sudah bermula sejak minggu lalu dan pastinya semua persiapan persekolahan anak telah lengkap dipersiapkan ibu bapa.
Walaupun kerajaan menyediakan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 setiap anak, jumlah ini sebenarnya tidak mencukupi apabila diambil kira yuran tambahan bagi aktiviti luar waktu kokurikulum, seperti Kelab Komputer atau latihan silat yang memerlukan pakaian khas dan bayaran bulanan.
Aktiviti kokurikulum di sekolah sepatutnya fokus kepada unit beruniform, sukan, permainan, kelab dan persatuan yang ditetapkan. Aktiviti tambahan daripada pihak luar haruslah pilihan ibu bapa dan tidak wajib, agar tidak membebankan mereka. Begitu juga dengan yuran bulanan bagi setiap unit, walaupun rendah tetap menambah kos jika ibu bapa mempunyai anak ramai. Perkara ini perlu diberi perhatian agar tidak membebankan keluarga.
Keahlian murid dalam unit beruniform seperti Pengakap, Persatuan Bulan Sabit Merah, Kadet atau Pandu Puteri Tunas seharusnya dikekalkan sehingga tamat persekolahan supaya dapat memakai pakaian lama yang masih elok.
Selain itu, tradisi pembelian buku kerja setiap tahun turut menimbulkan kos yang tidak perlu. Banyak buku yang dibeli tidak digunakan sepenuhnya, bahkan tidak diperiksa oleh guru, sekali gus membazirkan wang ibu bapa. Penggunaan buku teks dan sumber digital boleh menjadi alternatif lebih jimat dan praktikal.
Perhimpunan pagi pula perlu ringkas dan padat, hanya guru bertugas atau pentadbir yang memberi maklumat penting. Begitu juga dengan waktu rehat, yang mana masa itu harus diberi sepenuhnya kepada murid untuk makan dan bersantai bersama rakan, tanpa diganggu aktiviti lain yang menyukarkan mereka menyesuaikan diri.
Berita baik bagi 2026 ialah pemakaian tali leher tidak lagi diwajibkan, meskipun masih ada sekolah yang mengekalkan amalan ini. Penyesuaian pakaian rasmi haruslah mengambil kira keselesaan murid, terutamanya cuaca Malaysia.
Semoga tahun ini membawa sinar baharu dalam pendidikan, dengan mana murid dapat belajar dengan gembira, ibu bapa tidak terbeban dan guru dapat menumpukan usaha mendidik dengan lebih efektif.
Pendidikan yang harmoni dan praktikal akan melahirkan generasi yang berilmu, berdisiplin dan menghargai jasa guru, sekali gus menjadi harapan keluarga dan negara.-UTUSAN
CIKGU JAMAL
Kuala Rompin. Pahang










